DBKK syor perangkap mendapan elak longkang tersumbat

17 Nov 2026 • 5:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

DBKK syor perangkap mendapan elak longkang tersumbat

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menasihatkan pengusaha pusat cucian kereta di Kolombong supaya mengawal pelepasan air kotor yang mengandungi mendapan tanah ke dalam longkang berhampiran bagi mengelakkan struktur itu tersumbat.

Jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK berkata pemilik premis berkenaan dinasihatkan supaya menapis sebanyak mungkin mendapan daripada air kotor yang mengalir keluar dari kawasan premisnya.

Beliau berkata pengusaha itu turut dicadangkan supaya membina takungan mendapan (sump) di dalam kawasan premis bagi tujuan berkenaan.

Ujarnya cadangan itu dikemukakan selepas kakitangan DBKK menjalankan pemeriksaan di premis terbabit baru-baru ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat paip saliran yang dipasang pada dinding konkrit pusat cucian kereta itu.

“Kakitangan kami mengesyaki paip berkenaan digunakan untuk menyalurkan air kotor daripada aktiviti mencuci kenderaan di premis itu,” katanya.

Tindakan itu susulan aduan orang awam berhubung kewujudan tumbuhan air yang tumbuh di beberapa bahagian longkang berhampiran premis berkenaan.

Seorang pejalan kaki yang bekerja di sebuah pejabat di kawasan Kolombong itu berpendapat aliran air buangan daripada pusat cucian kereta berkenaan mungkin menjadi punca pertumbuhan rumpai di dalam longkang terbabit.

Pengadu kemudian menyalurkan maklumat berkaitan kepada Hotline sebelum aduan itu dikemukakan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk tindakan lanjut.

Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (JPPB), DBKK berkata pemeriksaan dilakukan di bahagian longkang terjejas di sepanjang Jalan Kolombong tidak lama selepas aduan diterima.

Jelasnya kakitangan Unit Longkang (DU) mendapati struktur berkenaan dipenuhi air dan tersumbat dengan rumpai.

Beliau berkata kontraktor konsesi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja pembersihan longkang kemudian dimaklumkan mengenai keadaan itu.

Menurutnya ketika kakitangan unit berkenaan kembali membuat pemeriksaan beberapa ketika kemudian, mereka mendapati longkang terbabit sudah dibersihkan.

“Kami dimaklumkan lima pekerja kontraktor konsesi menggunakan pencakar dan cangkul untuk membersihkan bahagian longkang berhampiran pusat cucian kereta itu.

“Mereka turut menjalankan kerja pembersihan di bahagian longkang bertentangan di seberang jalan,” katanya.

Beliau berkata beberapa pokok keladi liar yang menghalang aliran air hujan turut dibuang dalam operasi berkenaan.

Tambahnya pihak pengurusan kontraktor konsesi turut diminta meningkatkan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan Kolombong bagi membantu mengatasi masalah saliran yang mungkin dihadapi penduduk dan pembayar cukai di kawasan itu.

Sementara itu Jabatan Kawalan Bangunan (JKB) DBKK turut dimaklumkan mengenai aktiviti di pusat cucian kereta berkenaan.

Jurucakap JKB berkata pihaknya sedang mengatur pemeriksaan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pengubahsuaian struktur dilakukan di premis terbabit.

“Kami perlu menentukan sama ada pelan bangunan dikemukakan bagi pengubahsuaian berkenaan dan sama ada ia mematuhi keperluan ditetapkan.

“Tindakan lanjut boleh diambil terhadap pemilik sekiranya didapati melanggar Undang-Undang Kecil DBKK,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bentuk tindakan yang mungkin diambil.

Selain itu Jabatan Pengurusan Kenderaan dan Pengutipan Sisa Pepejal DBKK yang menyelia operasi premis cucian kereta di sekitar ibu negeri, sedang menyemak sama ada pengusaha berkenaan mematuhi syarat perjanjian yang telah dimeterai dengan pihak berkuasa itu.

Jurucakap jabatan berkenaan berkata pengusaha terbabit telah berjanji untuk mematuhi beberapa terma dan syarat sebelum diberikan kelulusan untuk mengendalikan pusat cucian kereta berkenaan.

“Pihak kami perlu meneliti sama ada pengusaha berkenaan memenuhi tanggungjawab seperti yang dipersetujui sebelum menentukan tindakan sewajarnya,” katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved