
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berharap dapat menambah baik tandas awam dan jalan yang menghubungkan ke kawasan tamu di Manggatal.
Seorang kontraktor swasta, yang bertanggungjawab terhadap kemudahan tersebut, diarahkan untuk meningkatkan tahap kebersihan dan penyelenggaraan kemudahan itu, manakala agensi sedang meneliti cara terbaik untuk menangani masalah air bertakung yang merosakkan permukaan jalan.
Langkah ini diambil susulan maklum balas daripada dua pengunjung mengenai kesukaran mereka menggunakan tandas, serta pengalaman memandu yang tidak menyenangkan akibat lubang di sebahagian jalan berhampiran kawasan “tamu”.
Aduan mereka l disalurkan kepada pihak berkuasa.
Seorang jurucakap Jabatan Kesihatan Persekitaran (JKP) DBKK berkata anggota dari Bahagian Pengurusan Tandas Awam (PTA) memeriksa tandas awam di kawasan tamu dan dewan Manggatal, sejurus selepas dihubungi oleh media.
“Mereka mendapati terdapat tangga yang diletakkan di dalam bilik tandas cangkung di tandas tamu,” katanya.
“Ia menimbulkan tanggapan bahawa tandas itu dijadikan seperti stor untuk pelbagai peralatan.”
Katanya, penjaga tandas ditanya mengenai perkara ini semasa pemeriksaan tersebut.
Menurutnya, kakitangan PTA dimaklumkan bahawa tandas cangkung itu tidak dapat digunakan kerana paip pembetung yang bersambung dengan kemudahan itu tersumbat dengan teruk.
“Penjaga bertugas memaklumkan bahawa syarikat itu sebelum ini pernah cuba untuk mengunci bilik tandas itu. Namun, beberapa orang awam yang tidak prihatin membuka pintu secara paksa kerana tidak menyedari tandas itu tidak boleh digunakan.
“Bagi mengelakkan perkara ini daripada berulang, tangga diletakkan di dalam bilik tandas itu.”
Dia berkata penutup tandas didapati hilang di tandas duduk konvensional dalam satu-satunya sebuah lagi bilik tandas di tandas tamu itu.
“Pengguna terpaksa duduk di atas permukaan seramik mangkuk tandas.”
Selain kekurangan penyelenggaraan, katanya, kakitangan PTA juga mendapati tahap kebersihan di dalam tandas itu tidak memuaskan.
Jurucakap itu berkata kontraktor berkenaan turut bertanggungjawab ke atas beberapa tandas awam lain di bawah jagaan DBKK, termasuk di Plaza Damai, berhampiran Pasar Inanam, Jalan Padang, Pasar Besar Kota Kinabalu, berhampiran premis Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (Safma), dan berhampiran deretan kedai di Sinsuran.
“Kami juga kecewa dengan keadaan penyelenggaraan tandas-tandas ini.”
Katanya, kontraktor itu sudah dimaklumkan mengenai penemuan-penemuan ini.
“Individu berkenaan secara lisan bersetuju untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan dan melakukan pembersihan besar-besaran di setiap premis berkenaan.”
Satu notis kemudiannya dikeluarkan kepada syarikatnya, yang mengarahkan pihak pengurusan membuat penambahbaikan ke atas semua tandas awam di bawah jagaan syarikat berkenaan.
“Syarikat itu diminta secara rasmi untuk meningkatkan penyelenggaraan kemudahan-kemudahan ini, termasuk membaiki sebarang kelengkapan yang rosak di dalamnya.
“Selain itu, syarikat turut diminta untuk menyediakan pencuci tangan yang mencukupi di premis-premis tersebut dan memastikan tong sampah di dalam tandas dikosongkan secara berkala.
“Kami tidak mahu tisu melimpah keluar dari tong sampah dan menyebabkan kekotoran di dalam tandas.”
Dia berkata pihak pengurusan juga diminta untuk memastikan lantai – sama ada di dalam bilik tandas mahupun di luar – sentiasa kering.
“Tandas perlu dimop dengan kerap bagi mengelakkan air bertakung di lantai dan membahayakan pengguna kerana mereka boleh tergelincir dan mudah terjatuh.”
Katanya, kontraktor akan diberi tempoh tangguh untuk mematuhi semua arahan tersebut.
"Satu pemeriksaan susulan akan dilakukan selepas tempoh itu. Jika didapati nasihat kami tidak diendahkan, tindakan tegas mungkin akan diambil.”
Mengenai masalah jalan di kawasan tamu Manggatal, seorang jurucakap Jabatan Pengangkutan dan Trafik DBKK berkata satu pemeriksaan awal akan dilakukan bagi mengenal pasti punca air hujan bertakung di atas jalan tersebut.
“Jika perlu, kecerunan jalan akan diubah suai supaya air boleh mengalir dengan lebih mudah ke saluran longkang,” katanya.
“Kami mungkin akan mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan di Jabatan Kejuruteraan untuk merangka pelan tindakan bagi menangani masalah saliran.”
Sementara itu, dia berkata Jabatan Pengangkutan dan Trafik akan cuba membaiki lekukan di permukaan jalan berkenaan.
“Ini sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit kelegaan sementara kepada pemandu yang sering melalui kawasan ini.”


