
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang mengambil langkah bagi mengurangkan risiko bahaya lalu lintas kepada pemandu yang menggunakan laluan masuk ke Kawasan Perindustrian Big Wheel di Inanam serta kenderaan yang keluar dari Taman Ridgeview Fasa 9, Kepayan.
Tindakan itu susulan aduan berhubung kejadian mendapan jalan di Lorong Perindustrian Bigwheel selain beberapa kejadian nyaris kemalangan membabitkan pengguna jalan raya di Lorong Austral 10.
Seorang pengadu dari Inanam berkata dia terkejut apabila mendapati terdapat ruang kosong di bawah bahagian jalan yang terdedah selepas berlaku kerosakan pada permukaan laluan berkenaan.
Menurutnya bahagian jalan itu seolah-olah hanya disokong oleh beberapa batang besi yang dipasang di bawahnya.
Pengadu berharap kerja pembaikan dapat diberi keutamaan sebelum lebih banyak bahagian permukaan tar runtuh dan menyebabkan Lorong Perindustrian Bigwheel tidak lagi boleh dilalui.
Sementara itu seorang pengadu dari Kepayan berkata ramai pemandu yang keluar dari pusat komersial berhampiran Taman Ridgeview Fasa 9 sering memotong laluan kenderaan lain yang keluar dari simpang kawasan perumahan untuk menuju ke jalan utama terdekat.
Katanya sebuah bulatan telah dibina di Lorong Austral 10 bagi mengawal pergerakan kenderaan yang keluar dari kawasan premis perniagaan Marketplace 88 namun kebanyakan pemandu yang tidak bertimbang rasa didakwa mengabaikan kemudahan itu.
Butiran aduan berhubung kedua-dua isu berkenaan telah disampaikan kepada DBKK melalui ruangan Hotline untuk tindakan lanjut.
Jurucakap Jabatan Trafik dan Pengangkutan (TTD) DBKK berkata pemeriksaan di Lorong Perindustrian Bigwheel telah dilakukan sebelum pihaknya dihubungi media.
“Anggota kami mengesahkan sebahagian besar permukaan jalan tar telah runtuh sehingga menyebabkan lebar laluan itu menjadi semakin sempit.
“Bagaimanapun mujurlah pemandu masih boleh melalui bahagian tepi kawasan mendapan itu untuk memasuki Kawasan Perindustrian berkenaan.
“Anggota kami berpendapat kerosakan itu mungkin berpunca daripada pergerakan kenderaan berat yang memberikan impak tinggi terhadap permukaan jalan,” katanya.
Beliau berkata beberapa ranting pokok diletakkan di bahagian jalan yang terdedah itu sebagai amaran awal kepada pengguna jalan raya supaya mengelakkan laluan berkenaan.
“Kemudian kami memasang penghadang plastik bagi mengepung kawasan mendapan itu. Papan tanda ‘Awas’ turut dipasang berhampiran simpang menuju kawasan komersial dari Jalan Tuaran,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata setakat ini hanya langkah berkenaan yang dapat dilaksanakan kerana Lorong Perindustrian Bigwheel bukan di bawah penyelenggaraan pihak DBKK.
“Jalan berkenaan masih belum diserahkan kepada pihak kami. Perbincangan sedang dijalankan dengan salah seorang perunding Kawasan Perindustrian itu berhubung kemungkinan menyediakan pelan pembaikan bagi menangani masalah mendapan berkenaan,” tambahnya.
`Ketika ditanya mengenai ruang kosong di bawah jalan itu, beliau berkata laluan berkenaan dibina di atas sebuah longkang mengikut reka bentuk yang diluluskan oleh Jabatan Kejuruteraan DBKK.
“Pihak perunding dan wakil pemaju akan diminta memberikan penjelasan berhubung kualiti kerja pembinaan di laluan berkenaan,” katanya.
Bagi isu di Lorong Austral 10 pula selepas menunggu selama empat bulan, tiang fleksibel akhirnya dipasang di sepanjang jalan berkenaan.
Ruangan Hotline pertama kali menghubungi pihak DBKK berhubung masalah lalu lintas di kawasan Kepayan itu pada Julai lalu.
Jurucakap itu berkata kontraktor yang dilantik DBKK telah memasang tiang berkenaan di beberapa lokasi strategik di laluan itu minggu lalu.
“Kami berharap pemasangan struktur ini dapat menggalakkan pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan lalu lintas,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau berkata Jabatan Trafik dan Pengangkutan (TTD) akan memantau secara berkala pergerakan kenderaan antara Taman Ridgeview Fasa 9 dan Marketplace 88 bagi memastikan pemandu menggunakan Lorong Austral Park 10 dengan betul.
Jurucakap itu berkata DBKK sebelum ini juga pernah menerima aduan berhubung risiko keselamatan lalu lintas yang dibangkitkan oleh pembaca Hotline berkenaan.
“Semakan rekod kami mendapati terdapat tiga aduan terdahulu mengenai perkara ini.
“Aduan pertama dibuat oleh orang awam pada Disember lalu, manakala aduan terbaharu dikemukakan oleh seorang ahli politik tempatan,” jelasnya.



