![Image from: DBKL Kompaun Staf Tular Buang Sampah Keluar Dari Tingkap Kereta Ketika Naik Kenderaan Rasmi [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/Staf-DBKL-dikenakan-kompaun-1.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan tindakan seorang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membuang sampah keluar dari tingkap sebuah kereta.
Apa yang lebih menjadi perhatian adalah tindakannya itu dilakukan ketika dia sedang menaiki kenderaan rasmi.
Kejadian yang berlaku pada 21 Jun itu nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mengecam perbuatan pekerja berkenaan serta mahu DBKL mengambil tindakan.
View on Threads
DBKL Ambil Tindakan Segera, Panggil Kakitangan Beri Penjelasan
Terbaharu, DBKL dalam satu kenyataan di Facebook menjelaskan pihaknya mengambil maklum berhubung insiden tular melibatkan kakitangannya itu.
Jelas DBKL, mereka telah memanggil staf terbabit dan mendapatkan penjelasan serta menjalankan semakan berhubung kejadian berkenaan.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil maklum berhubung satu hantaran yang tular di platform media sosial Threads berkaitan dakwaan kakitangan DBKL yang membuang sampah daripada kenderaan rasmi jabatan pada 21 Jun 2026.
“DBKL memandang serius perkara tersebut dan telah mengambil tindakan segera dengan memanggil kakitangan tersebut bagi mendapatkan penjelasan serta menjalankan semakan berkaitan kejadian tersebut,” katanya.
Staf DBKL Buang Sampah Dikenakan Kompaun, DBKL Tak Berkompromi Perbuatan Yang Boleh Jejaskan Imej
Ekoran itu, DBKL menjelaskan staf tersebut telah dikenakan kompaun di bawah Seksyen 47(1)(e), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Susulan tindakan berkenaan, kakitangan terbabit telah dikenakan tindakan kompaun di bawah Seksyen 47(1)(e), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.
Malah tegas DBKL, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej organisasi mereka.
“DBKL sentiasa menekankan kepentingan integriti, disiplin dan profesionalisme dalam kalangan warga kerja bagi menyampaikan perkhidmatan kepada warga kota.
“DBKL tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej organisasi dan akan terus memastikan pematuhan terhadap peraturan serta tatakelola kerja diperkukuhkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Penguat Kuasa Didakwa Lepaskan Barang Sitaan Kepada Penjaja, Ini Penjelasan DBKL
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Puas Hati Lihat Anggota DBKL Kompaun Perokok Buang Puntung Di Tempat Awam [Video]






