
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperbanyakkan pelaksanaan laluan kontra atau tidal flow di beberapa jalan utama di ibu negara pada waktu puncak dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata antara jalan yang dikenal pasti adalah Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur, Jalan Cheras, Jalan Istana serta kawasan Bulatan Pahang.
“Kita akan lihat lebih terperinci berkenaan pelaksanaan tidal flow di laluan Lebuhraya Seremban-KL bagi membantu penyuraian trafik masuk dan keluar dari pusat bandar ketika waktu puncak.
“Tidal flow sedia ada di Jalan Cheras sepanjang empat kilometer (km) dipanjangkan kepada 8km iaitu sehingga ke Jalan Maharajalela,“ katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif tersebut merupakan antara penyelesaian jangka sederhana yang diputuskan dalam jawatankuasa khas bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota.
Jalaluddin berkata DBKL juga telah mengenal pasti 13 lokasi jalan utama titik panas (hotspot) kesesakan di ibu negara antaranya Jalan Kuching, Jalan Yew, Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak.
Beliau turut mengumumkan penambahan lorong di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) berhampiran kawasan Bandar Tasik Selatan berkuat kuasa serta-merta sebagai kaedah dan tindakan penyuraian kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
“Sekarang terdapat dua lorong susulan, terdapat kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan, jadi kami putuskan untuk menjadikan ia tiga lorong secara kekal sekali gus menaik taraf keadaan jalan di ibu kota,“ tambahnya.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut memaklumkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur telah mengeluarkan 61,777 notis pelbagai kesalahan sepanjang enam bulan pertama tahun ini. — Bernama

