DBKL Turap 59KM Jalan Utama, Sasar 100 Peratus Kawasan Bebas Lubang

20 Aug 2026 • 12:14 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

DBKL Turap 59KM Jalan Utama, Sasar 100 Peratus Kawasan Bebas Lubang

Sebanyak 59 kilometer jalan protokol dan laluan utama di ibu negara bakal diberi nafas baharu menerusi kerja penurapan serta penyelenggaraan secara berperingkat, dengan sasaran meningkatkan jangka hayat turapan sehingga 50 peratus.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, program membabitkan lapan laluan itu meliputi kawasan seluas kira-kira 1.3 juta meter persegi dan akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Menurut DBKL, program berkenaan memberi tumpuan kepada laluan utama yang menjadi nadi pergerakan warga kota, pengguna harian serta kenderaan dari dalam dan luar Kuala Lumpur.

Image from: DBKL Turap 59KM Jalan Utama, Sasar 100 Peratus Kawasan Bebas Lubang
Gambar: DBKL

Fasa pertama membabitkan lima laluan dan mula dilaksanakan secara berperingkat sejak Ogos 2026 dengan kos keseluruhan RM61.64 juta serta tempoh pelaksanaan selama 24 minggu.

Laluan terlibat ialah Lebuhraya Sultan Iskandar–Jalan Damansara–Jalan Istana; Bulatan Syed Putra–Mid Valley Megamall bagi kedua-dua arah; Jalan Sultan Ismail dari susur Jalan Kuching hingga Jalan Imbi serta Jalan Ampang dari susur Intermark hingga Jalan Raja Chulan.

Turut terbabit ialah laluan dari susur masuk lebuh raya berhampiran Lapangan Terbang Lama di Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban Fasa 1 hingga susur masuk Lebuhraya SPE, selain laluan dari susur masuk Lebuhraya SPE hingga Pintu Gerbang di Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban Fasa 2.

Baca juga:

Fasa kedua pula akan bermula September 2026 dan membabitkan tiga laluan, iaitu Bulatan Batu Caves hingga Simpang Jalan Sultan Sulaiman melalui Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu, Bulatan Kampung Pandan hingga Menara PJD melalui Jalan Tun Razak serta Pintu Gerbang hingga sempadan Kuala Lumpur-Selangor di Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban Fasa 3.

DBKL berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud turut turun padang hari ini bagi meninjau pelaksanaan kerja penurapan dan penyelenggaraan jalan terbabit.

Menurutnya, skop kerja bukan sekadar melibatkan penurapan permukaan jalan, sebaliknya turut merangkumi pembaikan kerb dan pave, kerja pengisaran dan penurapan semula (mill and pave), penyelarasan aras manhole serta penandaan semula garisan jalan.

“Penyelenggaraan turut melibatkan jambatan termasuk penggantian guardrail dan bridge joint, kemasan tepi jalan, pemasangan flexible pole dan rumble strip serta pembaikan loop traffic light di lokasi dikenal pasti,” katanya.

DBKL berkata, bahan Stone Mastic Asphalt (SMA14) digunakan bagi meningkatkan ketahanan turapan terhadap beban berat, manakala garisan jalan dicat semula menggunakan bahan thermoplastic yang mempunyai ciri pantulan cahaya bagi meningkatkan keterlihatan pada waktu malam.

Ujarnya, kerja itu turut memberi tumpuan kepada pembaikan kegagalan permukaan seperti alur roda, retakan buaya dan permukaan beralun, selain meningkatkan rintangan gelinciran bagi memberikan cengkaman tayar lebih optimum, khususnya ketika hujan.

Keadaan jalan yang lebih baik, jelasnya, dapat membantu mengurangkan potensi kerosakan kenderaan dan risiko kemalangan, selain memastikan jalan protokol Kuala Lumpur sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Projek ini disasarkan meningkatkan jangka hayat turapan sehingga 50 peratus, memastikan kawasan terlibat 100 peratus bebas lubang serta mengurangkan sehingga 40 peratus kos penyelenggaraan rutin,” katanya.

DBKL berkata, kerja penurapan dilaksanakan pada waktu malam antara 10 malam hingga 6 pagi bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya.

Katanya, penutupan lorong akan dilakukan secara berfasa dengan hanya satu atau dua lorong ditutup pada satu-satu masa, manakala lorong lain dikekalkan terbuka bagi memastikan aliran trafik terus bergerak.

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan, lampu limpah, Variable Message Sign (VMS) serta papan anak panah berkelip akan dipasang sekurang-kurangnya 500 meter sebelum zon kerja.

Menurut DBKL, maklumat awal mengenai kerja penurapan turut disampaikan kepada orang ramai melalui notis pemberitahuan tiga hari sebelum kerja bermula, selain hebahan menerusi aplikasi navigasi seperti Waze dan Google Maps serta saluran radio utama.

Laluan lencongan turut disediakan, khususnya untuk kenderaan berat, manakala pasukan tunda disiapkan sebagai sistem respons kecemasan bagi mengalihkan kenderaan rosak dengan pantas dari zon kerja.

Keseluruhan program itu dijadualkan berlangsung dari Ogos 2026 hingga Februari 2027.

“Jalan yang lebih baik bukan sekadar memberi perjalanan lebih selesa, tetapi memastikan setiap perjalanan warga kota lebih selamat dan setiap pelaburan penyelenggaraan memberikan manfaat lebih panjang kepada rakyat,” jelasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved