DBKL Tutup Rumah Urut, Pusat Hiburan

12 Mar 2023 • 9:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
DBKL telah menutup 3 premis rumah urut dan pusat hiburan di Brickfields dan Sri Petaling kerana melanggar syarat lesen. - Gambar dari Facebook DBKL

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup tiga premis rumah urut serta pusat hiburan di sekitar Brickfields dan Sri Petaling di sini, susulan operasi penguatkuasaan Jumaat lepas. 

Jurucakap DBKL dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan diambil kerana premis menjalankan aktiviti pub, kelab malam dan pusat hiburan yang melanggar syarat lesen.

Hasil serbuan itu, katanya, terdapat empat premis yang didapati melanggar syarat lesen DBKL dan tiga daripadanya diarah tutup serta-merta.

"DBKL mengenakan tindakan tiga penutupan serta merta dan menyita peralatan, manakala sebuah premis lagi diambil tindakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. 

"Dua lagi diambil tindakan di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992 termasuk membuka kertas siasatan kerana mengadakan aktiviti hiburan tanpa kebenaran," katanya menerusi Facebook hari ini. 

Sementara itu, DBKL turut memberikan notis di bawah UUK 3(1) UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta satu notis UUK 22(1)(d) UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

"Selain itu, satu notis Pemberitahu Tentang Kesalahan (NPTK) Akta Hiburan (WPKL) 1992 di bawah Seksyen 4 (1)(a) & 4(1)(b) turut dikeluarkan. 

"Seramai sembilan pekerja wanita bukan warganegara turut diambil keterangan," katanya. - Getaran, 12 Mac 2023.