DBN 2.0 Pemangkin Selesaikan Cabaran Negara Antaranya Sekuriti Makanan

12 Sep 2022 • 4:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Sabri berkata, DBN 2.0 akan menambah baik semua strategi yang terkandung dalam Dasar Bioteknologi Negara terdahulu. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR - Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) akan memperkukuh ekosistem bioteknologi sedia ada serta menjadi pemangkin dalam menyelesaikan cabaran negara berkaitan sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, DBN 2.0 akan menambah baik semua strategi yang terkandung dalam Dasar Bioteknologi Negara terdahulu. 

“Bagi memperkasakan sektor bioteknologi, DBN 2.0 akan memberi tumpuan kepada tiga tunjang utama iaitu pertama, Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan.

“Kedua, adalah Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan serta Ketiga: Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran,” katanya ketika melancarkan Dasar Bioteknologi  Negara 2.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba. 

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menggalakkan perkembangan syarikat tempatan dari industri bioteknologi menerusi Bio-based Accelerator (BBA). 

“Kerajaan juga meluluskan peruntukan RM2 juta bagi membolehkan Pameran BioMalaysia dapat dianjurkan pada 2023,” katanya lagi.

Ismail Sabri pada masa sama turut mengumumkan penubuhan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasaskan bioteknologi, yang mengendalikan dan mengemudi penyelidikan, berdasarkan permintaan industri dan kepentingan strategik negara.

Sehubungan itu jelasnya, satu badan penasihat pakar bioteknologi akan diwujudkan menerusi gabungan berkenaan, bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara. 

“Ini seperti mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasakan tiga sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam DBN 2.0,” katanya. 

Menurutnya, gabungan itu antara lain berperanan menentukan hala tuju strategik dan memperkasakan ekosistem bioteknologi berorientasikan kepada pulangan nilai (RoV), kebaikan awam dan kesejahteraan masyarakat. 

“Mereka juga berperanan menyokong impak, pasaran dan permintaan yang didorong penyelidikan dan pembangunan (R&D) bioteknologi yang memfokus kepada pembangunan eksperimen. 

“Ketiga, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Malaysia Science Endowment akan bekerjasama dengan pemain industri, badan tempatan dan antarabangsa untuk mewujudkan dana alternatif bioteknologi,” katanya. - Getaran, 12 September 2022