Pempengaruh media sosial, Dd Chronicle mohon maaf berhubung video parodi dimuat naiknya tular sejak Selasa.
Video parodi hina keputusan mahkamah?
Sebelum ini, video parodi Dd Chronicle didakwa mempersendakan keputusan mahkamah yang membatalkan 16 kesalahan syariah yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan baru-baru ini.

Menerusi video berkenaan, pempengaruh itu dipercayai membuat parodi dengan membuka satu pandu lalu bagi orang ramai untuk memohon pengurangan hukuman dari mahkamah.
Katanya, meminum arak tidak salah di sisi undang-undang walaupun beragama Islam asalkan ia tidak menyebabkan kecederaan atau kematian mana-mana pihak.
Dd Chronicle mohon maaf
Susulan itu, Dd Chronicle atau nama sebenarnya Dediy Sulaiman Ra’e, 43, mohon maaf dan mengaku salah kerana terlepas pandang, selain tidak berhati-hati terhadap fakta walaupun ia hanya versi parodi.
Sedar dengan kesalahan yang dilakukan, Dd Chronicle bertindak memadan video berkenaan atas dasar hormat akan undang-undang.
Jelasnya, dia tidak mempynyai sebarang masalah dengan isu yang tercetus baru-baru ini, cuma meluahkan kerisauan apabila undang-undang agama ‘terkulai’ begitu sahaja.
“Saya tiada niat menghasut mana-mana pihak untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan sebaliknya mahu menunjukkan situasi jika undang-undang syariah tidak diperkasakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terbuka jika kena tindakan
Tambah Dd Chronicle, dia bersikap terbuka jika menerima sebarang tindakan, namun berharap laporan dilakukan atas dasar menjaga agama dan perlembagaan, bukan kerana musuh politik.
“Untuk Pemuda Amanah, anda memang ‘steady’ kerana cakna dengan isu agama dan undang-undang. Sama dengan saya, tetapi cara kita berbeza.
“Cuma kali ini ada kesilapan daripada pihak saya. Sebenarnya elok juga buat begini sebab saya pun manusia bukan selalu betul dan kena ada yang mengingatkan,” ujarnya.

Dia sekali lagi mohon maaf kepada orang ramai dan berjanji akan lebih berhati dalam membuat video parodi yang melibatkan isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja.
Katanya lagi, mereka yang minum arak dan berjudi masih lagi dikenakan tindakan undang-undang dan bukan seperti dinyatakannya dalam video parodi tular.
Video penuh:
Sumber: FB Dd Chronicle

