‘Debaran Bajet 2023 Makin Terasa’ - Zafrul

Politics
5 Oct 2022 • 9:45 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tengku Zafrul bersama kakitangan Kementerian Kewangan membuat persiapan bajet di kementerian berkenaan, malam tadi. - Gambar dari Facebook Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Dua hari menjelang pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkongsi komitmen gigih pasukan kementeriannya dalam menyediakan belanjawan negara itu.

Malah, beliau melahirkan perasaan berdebar yang semakin terasa untuk membentangkan bajet itu pada Jumaat ini.

“Debaran bajet makin terasa. Sekarang nak dekat 12 tengah malam, tapi #TeamMOF (pasukan Kementerian Kewangan) masih bersengkang mata merangka bajet untuk #KeluargaMalaysia.

“Dah lebih tiga minggu mereka berkampung di sini. Ada yang dah beberapa hari tak balik rumah bagi memastikan penyediaan bajet yang responsif, bertanggungjawab dan reformis,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Zafrul turut memohon doa daripada rakyat untuk seluruh pasukan kementerian itu, agar penyediaan Bajet 2023 lancar.

“Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang dan pelaksana.

“Nak pastikan boleh berjaga malam, Red Bull turut disediakan ya,” katanya.

Ini adalah kali ketiga Zafrul membentangkan belanjawan negara, selepas pertama kali berbuat demikian pada Bajet 2021 di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bajet 2021 disifatkan sebagai belanjawan membendung COVID-19 yang menyaksikan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 bilion untuk Kementerian Kesihatan (KKM), bagi tujuan menguruskan pandemik itu.

Manakala bagi kali kedua untuk Bajet 2022 pada tahun lalu, beliau membentangkannya di bawah Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mensasarkan meneruskan langkah pemulihan COVID-19.

Aksi Zafrul meminum air sebanyak 11 kali ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat menarik perhatian ramai.

Beliau mengambil masa hampir dua jam membacakan teks ucapan bajet bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera setebal 83 muka surat ketika itu. - Getaran, 5 Oktober 2022