Debat Tak Bawa Hasil, Lebih Baik Jaga Kepentingan Rakyat - PM

Politics
29 Oct 2022 • 4:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Sabri Yaakob - Gambar fail

KUANTAN - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lebih baik untuk beliau menjaga kepentingan rakyat berbanding berdebat, yang tidak membawa sebarang hasil selepas perdebatan itu selesai.

Beliau berkata ia boleh disaksikan menerusi sesi debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan sebelum ini Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan antara Anwar dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berlangsung pada Mei lepas.

“Saya sudah mengatakan dari segi debat ini tidak membawa hasil pun... setakat habis debat, habislah. Orang ini bawa penyokong, orang itu bawa penyokong dan penyokong bersorak-sorak dalam dewan. Itu sahaja.

“Kita dalam kerajaan lebih daripada berdebat. Kita pastikan apa yang dirancang (dan) diumumkan dilaksanakan. Kalau timbul masalah (seperti) kos sara hidup yang meningkat, kita kena tengok keadaan ini untuk mengurangkan beban rakyat. 

“Tugas kerajaan itu banyak dan tugas kita bukan setakat bercakap, tetapi kita juga melaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan barisan pentadbiran kerajaan negeri serta kerajaan Pusat.

Ismail Sabri berkata pendirian itu berbeza daripada parti pembangkang, yang boleh bercakap apa sahaja kerana mereka tidak perlu melaksanakan apa yang diperkatakan.

“Mereka tidak perlu melaksanakan kerana mereka tidak akan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan (perkara yang diperkatakan), kerana mereka bukan kerajaan. Sedangkan, kita (kerajaan) bila berjanji, mesti kita laksanakan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan mana-mana calon Perdana Menteri parti lain sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sebelum itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menerusi ceramah di Temerloh baru-baru ini, mengemukakan cadangan supaya perdebatan antara tiga calon Perdana Menteri daripada tiga parti diadakan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved