
SETIAP ibu bapa pastinya mempunyai pendekatan tersendiri demi memastikan anak-anak membesar dengan sihat dan mendapat khasiat yang mencukupi.
Begitu juga dengan pelakon popular, Diana Danielle yang baru-baru ini menarik perhatian warga maya selepas berkongsi hasratnya untuk mencari seorang cef peribadi khusus buat permata hatinya.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, pemilik nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson itu mengakui dia kini memerlukan bantuan pakar masakan yang bukan sahaja mahir menyediakan pelbagai menu, malah mempunyai pengetahuan mendalam tentang aspek nutrisi.
Menurut Diana, kesibukan kerja yang melampau sepanjang tahun ini membuatkan dia rasa memerlukan khidmat profesional kerana tugas menyediakan hidangan yang bervariasi itu agak sukar untuk diserahkan kepada pembantu rumah biasa.
Tambahan pula, jadual harian anak-anaknya kini semakin padat dan memerlukan diet yang lebih seimbang serta khusus mengikut keperluan fizikal mereka.
"Mungkin saya perlukan cef peribadi di rumah, yang boleh datang awal pagi dan masak dua atau tiga hidangan sehari.
"Anak-anak saya perlukan variasi makanan yang saya rasa pembantu rumah biasa tak boleh sediakan, tambahan pula saya sangat sibuk tahun ini," jelasnya mengenai situasi tersebut.
Ibu kepada dua cahaya mata tersebut turut mengakui bahawa anak-anaknya tidak boleh hanya bergantung kepada menu biasa yang sama setiap hari kerana mereka memerlukan tenaga yang secukupnya untuk menyokong aktiviti harian yang sangat intensif.
"Mereka tak boleh hari-hari makan nasi dengan lauk biasa. Mereka perlukan makanan tertentu untuk jadual mereka yang intensif," katanya lagi yang mahu memastikan kebajikan dan selera anak-anaknya tetap terjaga walaupun dia sibuk bekerja.

Cari calon suami
Melihat kepada keperluan itu, pelakon filem Kami Histeria mengambil langkah proaktif dengan membuka peluang kepada mana-mana individu yang mempunyai kemahiran memasak serta ilmu berkaitan nutrisi untuk menghubunginya secara terus menerusi mesej peribadi (DM).
"Kalau anda ada pengetahuan tentang nutrisi, boleh masak pelbagai jenis hidangan dan boleh jadi cef peribadi, DM saya.
"Mungkin mula bekerja sekitar Ogos nanti," ujarnya yang memberi bayangan tarikh kemasukan untuk jawatan tersebut.
Menjenguk ke ruangan komen, hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi santai daripada netizen yang rata-ratanya sangat memahami situasi dilema seorang ibu berkerjaya.
Ada dalam kalangan ibu yang meluahkan rasa setuju kerana anak-anak zaman sekarang cepat bosan jika dihidangkan menu yang sama seinggakan mereka sendiri buntu memikirkan resipi harian selain ayam panggang.

Malah, hantaran itu turut menarik minat seorang cef profesional yang dikenali sebagai adamcooksitheavy untuk menawarkan perkhidmatannya secara terbuka.
"Saya merupakan cef terlatih secara profesional dengan sijil daripada Le Cordon Bleu dan kini bekerja sebagai cef peribadi untuk keluarga kenamaan, mengendalikan makanan harian untuk dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai pilihan diet berbeza," komennya yang turut berminat untuk menguruskan perancangan menu anak-anak pelakon tersebut.
Tidak kurang juga ada netizen lain yang sempat berseloroh menyuruh Diana mencari calon suami baharu sahaja yang serba boleh untuk menyelesaikan segala urusan rumah tangga termasuk menjadi pemandu dan cef peribadi di rumah.

