Deepak Diberi Tempoh 3 Hari Lapor Polis, Jika Tidak…

18 Mar 2023 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ka Siong akan membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menyiasat kes tersebut. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi tempoh tiga hari kepada ahli perniagaan, Deepak Jaikishan untuk membuat laporan polis jika terdapat individu menyamar dan menggunakan namanya.

Menurut Presiden MCA itu, jika Deepak tidak berbuat demikian, beliau sendiri akan membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menyiasat kes tersebut.

“Demi menjaga nama baik Pejabat Perdana Menteri (PMO) serta membersihkan nama dirinya, saya sekali lagi meminta Deepak Jaikishan jangan berdiam diri, buatlah laporan polis segera!

“Jika tidak, dalam masa tiga hari saya sendiri yang akan membuat laporan polis agar pihak polis dapat menyiasat kes ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Jelas beliau lagi, identiti pemanggil yang mengugutnya berhubung isu telur import akan terjawab sekiranya Deepak membuat laporan polis.

“Sudah tentu, pihak polis boleh menyiasat siapa pemilik nombor telefon bimbit yang menghubungi saya? Dan siapa pula yang menyamar sebagai Deepak Jaikishan (jika wujud)?

“Hakikatnya ialah Deepak Jaikishan masih belum menjawab kenyataan media saya di lobi Parlimen kelmarin. Jangan lari, sila jawab dan pergi buat laporan polis segera bahawa ada orang menyamar sebagai diri kamu,” katanya.

Pada masa sama, Ka Siong hairan apabila syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd dalam kenyataan media semalam, mengakui mereka pernah menghubunginya pada 13 Mac lalu.

“Jadi, siapa sebenarnya yang membuat panggilan telefon kepada saya memandangkan Deepak Jaikishan menafikan kaitannya dengan pihak syarikat?

“Adakah ini membuktikan bahawa wakil J&E Advanced Tech Sdn Bhd pernah membuat panggilan kepada saya dan pemanggil itu menggelar dirinya sebagai “Deepak”?” soalnya.

Ka Siong, Deepak dan syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd sering berbalas kenyataan sejak beberapa hari lalu mengenai kontroversi telur import dari India.

Kelmarin, Ka Siong mendakwa menerima ugutan berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat membabitkan isu bekalan telur import.

Beliau mendakwa menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Deepak’ dan mewakili syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd, pagi Isnin lalu.

Ka Siong berkata, pemanggil lelaki itu mendakwa sudah berbincang dengan PMO untuk bekas Menteri Pengangkutan itu memperbetulkan kenyataan dan menyelesaikannya di luar mahkamah.

Bagaimanapun Deepak menafikan beliau adalah individu yang didakwa mengeluarkan ugutan terhadap Ka Siong berhubung isu terbabit yang dibangkitkannya di Dewan Rakyat pada hari sama.

Katanya, beliau tidak pernah berhubung dengan mantan Menteri Pengangkutan itu berkait apa-apa perkara pun.

Susulan itu, Ka Siong pada kelmarin menggesa Deepak untuk membuat laporan polis selepas melakukan penafian tersebut.

“Saya akan bagi semua maklumat dan syarikat telekomunikasi pun boleh bekerjasama. Saya pun nak tahu kenapa individu ini tahu semua perkara dan kandungan surat peguam,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, kelmarin.

Pada sidang media itu, Ka Siong turut berkongsi tangkap layar butiran pemanggil dan waktu panggilan yang diterima pada telefon bimbitnya untuk menyokong dakwaan tersebut. - Getaran, 18 Mac 2023