
KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan diwartakan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 yang berkuat kuasa dari 4 hingga 10 November ini berbanding sembilan jenis tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pertambahan itu melibatkan dua barangan baharu iaitu santan dan ubi kentang dari China bagi memastikan liputan barang kawalan lebih menyeluruh.
Katanya, skim tersebut dilaksanakan selama tujuh hari merangkumi empat hari sebelum perayaan, sehari semasa sambutan Deepavali pada 8 November dan dua hari selepasnya.
“Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam sidang akhbar khas sempena pengumuman pelaksanaan SHMMP Deepavali Tahun 2026, hari ini.
Barangan lain yang terlibat ialah bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (Australia), kelapa biji, kelapa parut dan tomato.
Harga maksimum kelapa biji ditetapkan di peringkat borong sahaja, manakala kelapa parut hanya di peringkat runcit.
Armizan berkata, analisis perbandingan SHMMP Deepavali 2025 dan 2026 menunjukkan majoriti barangan kawalan mencatatkan trend harga stabil.
Katanya, lima barangan di Semenanjung Malaysia mengalami penurunan harga maksimum berbanding tahun lalu iaitu kelapa biji, kelapa parut, bawang merah besar, bawang merah kecil India dan kacang dal (Australia).
Harga maksimum tomato, cili merah dan bawang merah kecil India (Ros) pula kekal.
Bagi Sabah, dua barangan mengalami penurunan harga iaitu bawang merah besar dan kacang dal (Australia), manakala enam barangan kekal.
Di Sarawak, tiga barangan mencatatkan penurunan harga iaitu kelapa parut, bawang merah kecil India dan kacang dal (Australia), sementara lima barangan kekal.
Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, hanya kacang dal (Australia) mengalami penurunan harga, manakala tujuh barangan kekal.
“Daging kambing biri-biri bertulang import merupakan satu-satunya barangan yang merekodkan peningkatan harga di peringkat borong dan runcit, melibatkan seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Menurut Armizan, penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan mengambil kira faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan pandangan agensi kerajaan serta pemain industri.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan bekalan barangan kawalan mencukupi sepanjang pelaksanaan skim.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Deepavali sebagai antara ikhtiar menangani kos sara hidup sempena perayaan tersebut.
Katanya, orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Deepavali 2026 melalui portal rasmi PJRM atau aplikasi Info Jualan Rahmah Madani. – UTUSAN
The post Deepavali: 11 barangan dikawal harga bermula 4 November appeared first on Utusan Malaysia.

