
BEIJING – Delegasi Amerika Syarikat (AS) yang mengiringi Presiden Donald Trump dilaporkan membuang semua hadiah dan cenderamata yang diberikan pihak China sebelum menaiki pesawat Air Force One selepas lawatan rasmi ke Beijing.
Menurut laporan portal The Economic Times yang memetik wartawan White House New York Post, Emily Goodin, barangan seperti telefon sementara (burner phone), pas keselamatan, pin dan pelbagai cenderamata dibuang ke dalam tong sampah berhampiran tangga pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital sebelum rombongan berlepas pulang.
Menerusi hantaran di platform X, Goodin mendakwa arahan keselamatan sepanjang lawatan itu sangat ketat.
“Tiada apa dari China dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat,” katanya.
Laporan sama turut mendakwa anggota delegasi AS meninggalkan semua peranti elektronik peribadi di rumah dan hanya menggunakan telefon sementara khas sepanjang lawatan sebagai langkah keselamatan siber.
Kebimbangan Siber Masih Menebal
Tindakan itu dikatakan mencerminkan kebimbangan berterusan Washington terhadap keupayaan pengintipan siber China serta risiko pengumpulan data menerusi peranti elektronik atau cenderamata yang diterima sepanjang lawatan rasmi.
Insiden tersebut berlaku meskipun lawatan dua hari Trump ke Beijing bersama Presiden China, Xi Jinping, dipaparkan dalam suasana mesra dan diplomatik.
Bagaimanapun, beberapa ketegangan dilaporkan berlaku di sebalik lawatan itu termasuk membabitkan isu keselamatan dan akses media sepanjang program rasmi berlangsung.
Antara insiden yang dilaporkan berlaku ialah pertikaian ketika lawatan Trump dan Jinping ke Temple of Heaven apabila ejen Perkhidmatan Rahsia AS dikatakan dihalang memasuki kawasan tersebut kerana membawa senjata api mengikut protokol keselamatan standard mereka.
Situasi itu menyebabkan akses media tertangguh hampir 90 minit sebelum dibenarkan masuk selepas rundingan dilakukan antara pegawai kedua-dua negara.
Hubungan Mesra, Isu Besar Masih Wujud
Walaupun kedua-dua pemimpin mempamerkan hubungan mesra sepanjang lawatan, AS dan China masih berdepan perbezaan besar dalam beberapa isu utama termasuk perdagangan, teknologi, Taiwan serta konflik Iran.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan pihak Rumah Putih berhubung laporan mengenai tindakan membuang barangan dan hadiah dari China itu. – The Malaysian Update
The post Delegasi AS Dilapor Buang Semua Hadiah Dari China Sebelum Naik Air Force One appeared first on The Malaysian Update.
