Deleum sasar ambil alih 70% kepentingan dalam firma Indonesia bernilai RM33.1 juta
diyana
04/03/2024 - 15:49
KUALA LUMPUR 4 Mac - Deleum Berhad akan melaksanakan usaha wajar untuk mengambil alih 70% kepentingan dalam syarikat injap OSA Industries Indonesia (OSAII) dengan harga AS$7 juta (RM33.1 juta) untuk mengukuhkan perniagaan tenaga dan jentera (P&M) di Indonesia.
Pengambilalihan yang dilaksanakan oleh anak syarikatnya, Deleum Services Sdn Bhd, mewakili 70% daripada jumlah penilaian OSAII sebanyak AS$10 juta, tertakluk kepada usaha wajar dan perjanjian muktamad.
Deleum telah menandatangani perjanjian induk (HOA) dengan lima pihak termasuk OSAII dan pemegang sahamnya Ong Siow Aik dan OSA Industries Pte Ltd, untuk menjalankan usaha wajar ke atas sasaran pengambilalihan tersebut.
HOA itu memerlukan semua pihak saling bekerjasama dalam tempoh enam bulan dalam memudahkan usaha wajar Deleum ke atas OSAII dan PT OSA Megah, serta berunding dan menyelesaikan perjanjian muktamad bagi cadangan pengambilalihan berkenaan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“HOA menandakan hala tuju strategik dan komitmen Deleum untuk mengukuhkan kehadiran serantaunya, untuk mewujudkan sinergi dan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan kumpulan serta nilai pemegang sahamnya.
"Cadangan pengambilalihan itu juga disokong oleh syarikat perkhidmatan antarabangsa yang mana kedua-dua Deleum dan OSAII mempunyai hubungan kerja yang baik selama ini," tambahnya.
Menurut Deleum, OSAII, yang ditubuhkan pada 1994 dan beribu pejabat di Jawa Barat, Indonesia, telah membina reputasinya di rantau ini.
OSAII terlibat terutamanya dalam pembaikan, pemulihan dan ujian injap, menawarkan penyelesaian pakar untuk memastikan kefungsian optimum. Ia juga menyediakan inventori pelbagai injap dan bekalan, tambahnya.
Secara berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deleum, Ramanrao Abdullah berkata HOA merupakan langkah pertama yang kritikal untuk merealisasikan pengembangan syarikat di Indonesia memandangkan negara itu dilihat mempunyai potensi besar untuk mendorong pertumbuhan perniagaannya.
“Kami komited untuk menggunakan kerjasama ini sebagai batu loncatan untuk matlamat kami yang lebih besar, memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan oleh pasaran Indonesia.
“Sementara meneruskan usaha wajar dan rundingan, kami kekal fokus untuk menyampaikan hasil yang mampan, sejajar dengan visi kami untuk menjadi penggiat terkemuka di rantau ini,” katanya.
Cadangan pengambilalihan itu dibuat hanya seminggu selepas Deleum menandatangani dua perjanjian berasingan untuk mengukuhkan portfolionya dalam penyediaan operasi slickline dan rumusan pemantauan metana.
Setakat pukul 3:46 petang ini, saham Deleum telah menokok 1 sen atau 0.8% kepada RM1.25 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM501.9 juta. - DagangNews.com


