Demam dah kebah tapi tubuh makin lemah? Awas 6 tanda amaran denggi

LocalHealth & Fitness
27 Aug 2026 • 4:48 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Demam dah kebah tapi tubuh makin lemah? Awas 6 tanda amaran denggi

DEMAM panas, sakit kepala dan badan terasa sengal-sengal. Sekali pandang, simptom itu mungkin kelihatan seperti demam biasa. Namun, jika keadaan berlarutan atau disertai tanda tertentu, jangan ambil mudah kerana ia juga boleh menjadi petunjuk kepada jangkitan denggi.

Di Malaysia, denggi masih menjadi antara penyakit yang perlu diberi perhatian. Sebanyak 42,848 kes dilaporkan di seluruh negara, meningkat 34.8 peratus berbanding 31,790 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Lebih membimbangkan, jumlah kematian turut meningkat 78.9 peratus daripada 19 kepada 34 kes.

Dalam cuaca panas dan lembap, persekitaran Malaysia pula cukup sesuai untuk nyamuk Aedes membiak. Jadi, mengenali simptom, tanda amaran dan langkah pencegahan bukan sekadar pengetahuan kesihatan, tetapi sesuatu yang wajar diketahui setiap keluarga.

Denggi berpunca daripada virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti.

Denggi tidak merebak secara terus daripada seorang individu kepada individu lain. Nyamuk mendapat virus selepas menggigit individu yang dijangkiti sebelum menyebarkannya kepada orang lain melalui gigitan seterusnya.

Mudah sahaja untuk mengenali Aedes. Perhatikan bahagian kaki dan badannya yang mempunyai corak belang putih.

Pernah kena denggi, boleh kena lagi? Jawapannya, ya.

Denggi mempunyai empat serotip virus utama iaitu DENV-1, DENV-2, DENV-3 dan DENV-4. Jangkitan terhadap satu serotip tidak bermakna seseorang kebal terhadap serotip lain.

Ini bermakna, seseorang masih boleh dijangkiti denggi lebih daripada sekali sepanjang hayat. Jadi, pengalaman pernah menghidap denggi sebelum ini bukan alasan untuk menganggap risiko sudah tiada.

Image from: Demam dah kebah tapi tubuh makin lemah? Awas 6 tanda amaran denggi

Gejala denggi lazimnya muncul antara empat hingga 10 hari selepas gigitan nyamuk dan boleh berlarutan selama dua hingga tujuh hari.

Antara simptom yang biasa berlaku termasuk demam tinggi sehingga 40°C, sakit kepala yang teruk, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi, loya, muntah serta ruam.

Cabaran sebenarnya ialah apabila demam mula berkurangan. Ramai mungkin menyangka keadaan semakin pulih, sedangkan fasa ini boleh menjadi lebih serius bagi sesetengah pesakit.

Perhatikan tanda amaran seperti sakit perut yang teruk, muntah berterusan, pendarahan pada hidung atau gusi, darah dalam muntah atau najis, kegelisahan serta keletihan atau kelemahan yang ketara.

Jika tanda tersebut muncul, dapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Jangan tersalah pilih ubat

Tiada rawatan khusus untuk menghapuskan virus denggi. Rawatan biasanya memberi tumpuan kepada kawalan simptom dan memastikan badan kekal terhidrat.

WHO dan KKM mengesyorkan paracetamol bagi membantu melegakan demam serta kesakitan. Sebaliknya, aspirin, ibuprofen dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) lain perlu dielakkan bagi pesakit yang disyaki atau disahkan menghidap denggi kerana boleh meningkatkan risiko pendarahan.

Jika mendapatkan rawatan di rumah, pastikan pesakit minum air secukupnya, berehat dan mengambil paracetamol mengikut arahan yang diberikan.

Mencegah denggi bermula dari rumah. Pakai pakaian berlengan panjang, gunakan penghalau nyamuk yang mengandungi DEET, picaridin atau IR3535 dan gunakan jaring nyamuk apabila sesuai.

Image from: Demam dah kebah tapi tubuh makin lemah? Awas 6 tanda amaran denggi

Pada masa sama, periksa kawasan rumah secara berkala. Buang bekas atau sisa yang boleh menakung air, selain mengosongkan, membersihkan dan menutup bekas simpanan air sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Kadangkala, tempat pembiakan Aedes tidak memerlukan ruang yang besar. Bekas kecil yang dipenuhi air pun sudah memadai.

Justeru, jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Denggi mungkin dibawa oleh nyamuk yang kecil, tetapi kesannya kepada kesihatan tidak boleh dipandang kecil.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved