IPOH - Demi membantu pembelajaran anak tunggalnya yang disahkan menghidap Autisme Spectrum Disorder (ASD), seorang guru sanggup beralih bidang daripada mengajar seni kepada aliran pendidikan khas.
Keputusan itu bukan sahaja mengubah haluan kerjaya, Dr Velerie Wheelervon Primus, 37, malah membawa kepada pengiktirafan apabila beliau diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di sini pada Jumaat.
Beliau menyifatkan anugerah yang diterima bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi simbol kepada kekuatan seorang bapa dan guru yang tidak pernah berputus asa demi masa depan anak serta murid-muridnya.
“Semua ini bermula kerana anak saya, Nogah. Dari situlah saya belajar, mencari dan membangunkan pendekatan yang sesuai bukan sahaja untuk anak saya, tetapi juga murid lain,”
“Kalau Nogah tengok ini...bapa harap Nogah bangga dengan apa yang bapa telah buat untuk Nogah,” katanya dalam nada sebak.
Kesungguhan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, Keningau, Sabah itu dibuktikan dengan melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau bagi menambah opsyen dalam bidang pendidikan khas.
Dengan berbekalkan pengalaman sebenar sebagai bapa, Velerie membangunkan tiga pendekatan pendidikan dikenali sebagai HOPE, MIRACLES dan NEURO ARTS.
Beliau berkata, pendekatan HOPE menekankan kerjasama antara ibu bapa dan sekolah dalam intervensi murid, manakala MIRACLES pula mengintegrasikan terapi cara kerja dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pendekatan terbaharu, NEURO ARTS menggabungkan neurologi, sains dan seni bagi membantu perkembangan murid berkeperluan khas secara menyeluruh.
Hasil pendekatan itu, beliau berjaya mencipta impak besar termasuk membantu seorang murid autisme yang sebelum ini berkerusi roda sehingga mampu berlari dan bermain bola.
Namun bagi Velerie, perubahan paling bermakna adalah perkembangan yang ditunjukkan oleh anaknya yang kini berusia 11 tahun.
“Daripada tidak boleh membaca kepada boleh membaca, daripada tidak boleh mengurus diri kepada boleh berdikari.
“Itulah yang membuatkan saya kuat sehingga hari ini untuk terus membantu komuniti dan berkongsi pengalaman sebenar,” katanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, minat menjadi guru telah tertanam sejak kecil, dipengaruhi ibunya yang juga seorang pendidik.
Dilahirkan di kawasan pedalaman Keningau dengan akses pendidikan yang terhad, beliau berazam untuk membawa perubahan dan menyediakan pendidikan berkualiti kepada generasi akan datang.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Malaysia Teacher Prize.
Selain Velerie, 95 lagi guru dari seluruh negara menerima anugerah bagi 31 kategori, membawa wang tunai dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional, sijil dan cenderamata sebagai mengiktiraf sumbangan dan peranan mereka kepada dunia pendidikan.
Sambutan tahun ini bertemakan 'Guru Bitara Nadi Negara' menekankan peranan guru sebagai model atau 'bitara' utama dalam membentuk modal insan bermutu yang bakal menjadi tulang belakang ekonomi serta kestabilan sosial negara.
