Demi berjimat, suri rumah datang lebih 15 kali ke jualan murah PKPS

27 Jan 2023 • 8:57 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KLANG, 27 JAN: Harga murah dan berkualiti setanding pasar raya membuatkan seorang suri rumah sanggup datang lebih 15 kali ke Jelajah Ehsan Rakyat (JER) untuk membeli barang keperluan asas.

Norhayati Mat Ripin, 44, berkata beliau memang mengikuti perkembangan jualan murah itu menerusi Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk mengetahui lokasi terkini penganjuran.

image is not available
Norhayati Mat Ripin

“Setiap kali program ini saya memang datang mungkin sudah lebih 15 kali ia dianjurkan di Meru dan kawasan sekitar. Memang boleh berjimat banyak sebab itu saya sanggup datang beratur seawal mungkin jika berkesempatan.

“Saya juga biasa beli barangan keperluan di Outlet Meru PKPS di Taman Dato’ Bandar kerana ia lebih murah berbanding tempat lain,” katanya ketika ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru semalam.

image is not available
Mohd Asri Pandak Abdul Samad

Pesara, Mohd Asri Pandak Abdul Samad, 55, pula berkata beliau sudah lebih lima kali mengunjungi program berkenaan dan sangat berpuas hati dengan harga yang ditawarkan.

“Cuma saya mohon dibuka kaunter lebih banyak supaya pembeli tidak perlu beratur lama. Tapi saya juga faham kekangan kakitangan daripada pihak penganjur dan mereka sudah berusaha sehabis baik untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada kami,” katanya.

image is not available
R Rani

Pekerja kilang, R Rani, 50, berkata beliau yang pertama kali mengunjungi jualan murah barangan asas itu mengakui terkejut dengan harga yang ditawarkan.

“Rasa rugi pula saya baru tahu. Jika tidak pasti saya boleh kunjungi program ini dengan lebih kerap,” katanya.

Program JER menawarkan jualan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu yang berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di sekitar 56 DUN sebelum ini diteruskan hingga Mac depan.