Demi Cikgu Non, Shahnun Rela Botak Kepala 

Politics
2 Aug 2023 • 7:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Zainol Abidin Mohamad mencukur rambut bekas pelajarnya, Shahnun Abdul Rahman - gambar Rafisqi Radhi

BUKIT KAYU HITAM – Keikhlasan seorang pendidik, Zainol Abidin Mohamad, 65 dalam mendidik anak bangsa nyata tidak pernah dilupakan. 

Keluhurannya mencurah ilmu demi melihat semua pelajarnya berjaya sentiasa abadi dalam ingatan, walaupun beliau telah lama bersara. 

Buktinya, seorang bekas pelajar Zainol, Shahnun Abdul Rahman sanggup membotakkan kepala bagi membayar nazar selepas gurunya dipilih sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah. 

Shahnun, 54, berkata, adalah menjadi hasratnya untuk melihat Tokoh Guru Kedah 2022 itu terpilih sebagai calon. 

Zainol katanya, memiliki segala kualiti yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin masyarakat. 

“Saya sememangnya amat gembira dan bersyukur apabila mendapat tahu Cikgu Non (panggilan buat Zainol) dipilih kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam. 

“Saya tahu Cikgu Zainol mampu menjalankan amanah ini dengan baik jika diberi peluang oleh pengundi,” katanya hari ini. 

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Kacau Bubur Asyura di Dusun Fadzil, Kampung Changkat Setol, di sini. 

Lebih menarik, Shahnun berjaya mendapatkan khidmat gurunya itu untuk mencukur rambut bagi menunaikan nazar dibuat. 

image is not available
Acara mencukur rambut Shahnun Abdul Rahman dibuat pada Majlis Kacau Bubur Asyura di Dusun Fadzil, Kampung Changkat Setol - gambar Rafisqi Radhi

Diminta mengulas lebih lanjut beliau berkata, Zainol yang dikenali sejak puluhan tahun lalu amat mengambil berat perihal pelajar. 

“Beliau mengajar saya subjek Matematik sekitar tahun 80-an, ketika saya menuntut di Sekolah Menengah Changlun dan tidak pernah berkira jika ada murid memerlukan bantuan,” katanya. 

Memanjatkan harapan agar gurunya itu menerima sokongan ramai, Shahnun memberitahu, dia dan rakan-rakan amat yakin Cikgu Non berkemampuan untuk menjalankan mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan baik. 

“Atas keyakinan itu saya berani membuat nazar seperti ini, dan syukur Alhamdulillah, berkesempatan pula bertemu Cikgu Non bagi melunaskan nazar dibuat,” katanya. - Getaran, 2 Ogos 2023

View Original Article