China ialah pasaran yang besar untuk cip dan GPU kecerdasan buatan (AI). Seperti kami laporkan sebelum ini, sekitar 90% pusat data AI dunia pada waktu ini menggunakan cip NVIDIA. Bagi mengelakkan Amerika dipintas China, halangan eksport cip dan GPU dikenakan ke atas NVIDIA dan AMD.
Menurut laporan Financial Times, NVIDIA dan AMD bersetuju memberikan 15% potongan daripada pendapatan jualan cip ke China kepada Amerika Syarikat bagi mendapatkan kebenaran mengeksport produk ke negara tersebut. Di bawah persetujuan ini, cip NVIDIA H20 dan AMD MI308 diberikan lesen untuk kembali dieksport selepas ia dihalang sejak April.

Cip H20 ialah cip khas untuk pasaran China dengan kemampuan memproses dikurangkan bagi mematuhi arahan yang diberikan pentadbiran Joe Biden. Walaupun halangan dikenakan sejak dua tahun lalu, cip NVIDIA yang lebih berkuasa telah berjaya diseludup ke China menerusi syarikat yang beroperasi di Singapura dan Amerika. Minggu lalu dua warga China ditahan oleh pihak berkuasa Amerika kerana mengeksport cip ke China secara haram.
Wujud seruan daripada ahli politik Amerika Syarikat supaya NVIDIA menyertakan suis membunuh, perisian hasad dan pintu belakang pada perisian mereka. Walaupun sekadar seruan, wakil NVIDIA di China dipanggil untuk menerangkan kedudukan mereka oleh Pentadbiran Ruang Siber China. NVIDIA serta merta mengeluarkan keterangan ini tidak akan dilukakan kerana ia hanya mewujudkan lebih banyak risiko sekuriti.



