Demi langsai hutang, wanita menyamar ibu daftar kad pengenalan jiran

14 May 2024 • 4:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang peniaga wanita (kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi mendaftarkan kad pengenalan dua lelaki yang juga jirannya tahun lepas. - Foto Bernama

SANDAKAN - Seorang peniaga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dua pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi mendaftarkan kad pengenalan dua lelaki yang juga jirannya tahun lepas.

Majistret Nur Faezah Jafry menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan kepada Ramla Lampeh, 49, bagi setiap pertuduhan bermula tarikh ditahan 10 Mei lepas dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

Nur Faezah juga menjatuhkan hukuman denda RM2,000 untuk pertuduhan pertama dan tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Ramla dalam dua pertuduhan itu didakwa memberikan maklumat palsu sebagai penganjur iaitu mengakui dirinya sebagai ‘ibu’ bagi mendaftarkan kad pengenalan, masing-masing atas nama Mohammad Firman Rahman, 22, dan Mohammad Luqman Rahman, 20.

Menurut fakta kes, tindakan itu dilakukan bagi melangsaikan hutang kepada peminjam wang dan Ramla didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sandakan, masing-masing pada 12.35 tengah hari dan 12.45 tengah hari, pada 15 Februari tahun lepas.

Ramla, yang diwakili peguam Mohd Nazri Zikiri, merayu supaya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda berikutan menanggung keluarga dengan pendapatan RM500 sebulan serta perlu menjaga seorang anak yang juga orang kurang upaya.

Pegawai Pendakwa JPN Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pencegahan kerana kes itu merupakan isu serius dan sensitif serta melibatkan kedaulatan negara.

"Jika penyamar berjaya memperoleh kad itu, penyamar mendapat segala kemudahan dan kelebihan sebagai warga Malaysia, sedangkan penyamar tidak layak," katanya.

Di mahkamah sama, Nur Faezah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan serta denda RM1,500 dan jika gagal membayar denda tersebut akan dipenjara sebulan kepada Mohammad Firman yang bekerja sebagai nelayan.

Adik-beradik itu yang tidak diwakili peguam didakwa memberikan maklumat palsu sebagai pemohon semasa mendaftarkan kad pengenalan di JPN Sandakan pada lokasi, tarikh serta masa yang sama, mengikut Peraturan 25 (1) (b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (pindaan 2007).

Mahkamah juga memutuskan kedua-dua mereka perlu menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 10 Mei lepas dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!