
WASHINGTON: Parti Demokrat berjaya merampas kerusi Gabenor Alaska buat kali pertama dalam tempoh hampir tiga dekad, sekali gus mencatatkan satu lagi kemenangan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal yang menyaksikan perubahan ketara landskap politik di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Bekas anggota Dewan Perwakilan Negeri Alaska, Jonathan Kreiss-Tomkins menewaskan tiga calon Republikan, termasuk seorang calon yang mendapat sokongan Presiden, Donald Trump, sekali gus menjadi Demokrat pertama dipilih sebagai Gabenor Alaska sejak 1998.
Kemenangan beliau yang diumumkan Associated Press (AP) 10 hari selepas pengundian ditutup, menambah senarai kejayaan Demokrat di seluruh negara dan menjadikan jumlah keseluruhan kerusi gabenor yang dikuasai parti itu meningkat kepada 30.
Demokrat turut berjaya merampas jawatan gabenor di beberapa negeri yang sekian lama menjadi kubu kuat Republikan, termasuk Iowa, Georgia, Ohio dan Texas.
Kreiss-Tomkins yang lebih dikenali sebagai JKT berjaya mencipta kebangkitan politik tiga tahun selepas meninggalkan Dewan Perwakilan Negeri Alaska.
Lelaki berusia 37 tahun itu mengadakan kempen secara meluas di seluruh negeri berkenaan dengan meraih sokongan menerusi isu ekonomi serta janji untuk mengubah hala tuju pentadbiran Alaska.
Antara agenda utamanya ialah menangani peningkatan kos sara hidup, memastikan pembiayaan penuh bagi pendidikan awam serta mewajibkan semua pengeluar minyak dan gas membayar cukai pendapatan korporat.
Beliau turut mencadangkan supaya pembangunan pusat data baharu dihentikan sementara sehingga penggubal undang-undang negeri menetapkan peraturan yang mengawal pembinaannya.
Sepanjang kempen, Kreiss-Tomkins lantang mengkritik kepimpinan Gabenor Republikan yang bakal meninggalkan jawatan, Mike Dunleavy, mendakwa Alaska menjadi negeri yang semakin bermasalah sepanjang lapan tahun pentadbirannya.
“Rakyat Alaska dahagakan perubahan. Kami menjalankan kempen dengan mesej sama sejak dilancarkan pada Februari lalu dan saya tidak pernah menganggap mana-mana undi sebagai sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya.
Antara perkara yang dikritiknya ialah kemerosotan sistem feri negeri itu yang menurutnya berada dalam keadaan tidak terurus sehingga perkhidmatan ke banyak komuniti dikurangkan secara drastik.
Rangkaian feri berkenaan merupakan penghubung pengangkutan penting bagi penduduk di tenggara Alaska yang tidak mempunyai akses jalan raya, termasuk beberapa kawasan yang turut berdepan kemudahan perjalanan udara terhad.
Walaupun mengkritik pentadbiran terdahulu, Kreiss-Tomkins menampilkan dirinya sebagai pemimpin yang bersedia bekerjasama merentasi perbezaan politik.
Beliau berikrar membentuk barisan Kabinet yang turut merangkumi anggota Demokrat, Republikan dan calon bebas.
Berbeza dengan kebanyakan negeri lain, Alaska membenarkan pengundi menyusun calon mengikut pilihan melalui sistem pengundian pilihan berperingkat yang turut membolehkan beberapa calon daripada parti politik sama bertanding sesama sendiri.
Bagaimanapun, Kreiss-Tomkins tidak memerlukan pusingan pengiraan undi tambahan selepas memperoleh lebih 50 peratus undi pilihan pertama, sekali gus mengesahkan kemenangan mutlak.
The post Demokrat rampas kerusi Gabenor Alaska selepas 30 tahun appeared first on Utusan Malaysia.






