Demonstrasi aman depan Menara KWSP tuntut pengeluaran bersasar

10 Jun 2024 • 12:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sekumpulan pencarum dan NGO melakukan demonstrasi secara aman di hadapan bangunan Menara KWSP pada Isnin

image is not available
Wan Saiful (tengah) ketika ditemui media di hadapan Menara KWSP pada Isnin.

SHAH ALAM - Sekumpulan pencarum bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan demonstrasi aman di hadapan bangunan Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Persiaran Kwasa Utama, Kwasa Damansara pada Isnin.

Himpunan anjuran Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) itu bagi menuntut supaya Akaun 1 (Akaun Persaraan) dibenarkan untuk pengeluaran bersasar kepada pencarum yang tiada lagi baki di Akaun 2 (Akaun Sejahtera) atau kurang.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau bersama wakil NGO lain hadir menyatakan sokongan serta menghantar memorandum tuntutan kepada pihak KWSP bagi memastikan supaya suara rakyat sebagai pencarum dapat didengari.

"Apa yang dimohon oleh mereka yang berkumpul pada hari ini adalah pengeluaran secara bersasar, kalau betul-betul perlu baru boleh keluarkan. Ini jauh lebih rasional.

**media[2683628]**

"Saya harap hari ini pihak KWSP dan kerajaan dapat mendengar rintihan dan keluhan daripada pencarum-pencarum ini sendiri.

"Saya akan terus bawa (tuntutan ini) di peringkat Parlimen tetapi kesukaran yang kita hadapi ialah kerajaan tidak dengar apa yang kita suarakan," katanya ketika ditemui petugas media di hadapan Menara KWSP, Kwasa Damansara pada Isnin.

Antara NGO lain yang terlibat ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF).

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, KWSP memperkenalkan akaun Fleksibel yang membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan.

Menurut kenyataan KWSP, permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!