
Seorang pengarah syarikat pengangkutan buah tandan segar (FFB) sawit didenda RM10,000 atau penjara tiga bulan, serta dikenakan penalti khas berjumlah RM899,657.64 juta oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis, kerana gagal mengemukakan penyata cukai pendapatan selama tiga tahun.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu kepada Chu Chen Yiap, 38, selepas dia mengaku bersalah kepada tuduhan terhadapnya.
Chu, pengarah Indah Dutamas Sdn Bhd (IDSB), gagal mengemukakan penyata dalam Borang C kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2017, 2018 dan 2021 untuk hasil bercukai sebanyak RM1,628,090, yang mana cukai perlu dibayar ialah RM299,885.88.
Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang membawa hukuman denda antara RM10,000 dan RM20,000, atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai sepatutnya dikenakan, jika sabit kesalahan.
Dayang Aidaku memerintahkan Chu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Bagaimanapun, Chu membayar denda itu.
Majistret juga mengarahkan Chu membayar penalti khas kepada LHDN dan menyerahkan Borang C pengisytiharan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari mulai Khamis.
Semasa mitigasi, Chu memohon hukuman ringan, berkata situasi perniagaannya tidak baik ketika ini dan dia perlu menanggung keluarga.
Pegawai pendakwa Mohd Arif Hermansah dan Mohd Kamarulzaman Mohd Noor dari LHDN memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan, dengan menyatakan ia merupakan kesalahan serius, dan untuk memberi kesedaran bukan sahaja kepada Chu tetapi juga masyarakat lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
“Kutipan cukai sangat penting untuk pembangunan negara, malah adalah satu ketidakadilan bagi pembayar cukai lain jika Chu tidak menunaikan tanggungjawabnya untuk membayar cukai.”
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
