Denda RM50 Juta Najib: Siapa Sebenarnya Yang Bayar?

LocalPolitics
9 Nov 2026 • 7:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Denda RM50 Juta Najib: Siapa Sebenarnya Yang Bayar?

KUALA LUMPUR - ‘Pembayar’ sebenar denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum diketahui. 

Terbaru, isu sama diketengahkan tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin yang menuntut pihak berkuasa menyiasat dari mana wang berkenaan diperoleh.

Tegas bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu, siasatan perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menjejaki sumber dana itu, sama ada pembayaran dibuat oleh UMNO mahupun pihak lain.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau turut mempersoalkan kemungkinan wujud sumbangan daripada ahli perniagaan yang pernah menikmati kontrak dan konsesi kerajaan bernilai besar sepanjang Najib bergelar Perdana Menteri.

Memberikan contoh, Kadir menyenaraikan beberapa projek utama yang dilaksanakan ketika pentadbiran Najib, termasuk Bandar Malaysia, MRT, LRT, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tun Razak Exchange (TRX) dan Merdeka 118.

Beliau turut membangkitkan pelaksanaan projek Saluran Paip Gas Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) yang didakwa hanya mencapai kemajuan 13 peratus, sedangkan 88 peratus daripada nilai kontraknya sudah dibayar.

Kadir berkata, tidak mustahil pihak yang mendapat manfaat daripada projek berkenaan mempunyai alasan tersendiri untuk membantu Najib, termasuk sebagai tanda terhutang budi.

“Walaupun ada projek yang berjaya disiapkan, kemungkinan berlakunya rasuah tidak boleh ditolak begitu sahaja,” katanya.

Untuk rekod, Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Hukuman asal penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kemudian dikurangkan kepada enam tahun serta RM50 juta menerusi pengampunan diraja.

Dalam kes berasingan membabitkan 1MDB-Tanore, Najib turut berdepan sabitan atas 25 pertuduhan, merangkumi empat kesalahan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion, namun pelaksanaan hukuman itu masih ditangguhkan sementara menunggu keputusan proses rayuan.

Pada 6 November lalu, Najib dibawa dari Penjara Kajang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, selepas denda RM50 juta itu berjaya dijelaskan.

Pembayaran berkenaan merupakan syarat yang perlu dipatuhi bagi membolehkan beliau menghabiskan baki tempoh hukuman menerusi tahanan di rumah.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian dibawa kembali ke Penjara Kajang susulan pertikaian mengenai tafsiran dan kandungan notis pelepasan yang dikeluarkan mahkamah.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, turut menggesa supaya BNM dan SPRM menyiasat serta mengaudit pembayaran berkenaan bagi memastikan wang yang digunakan datang daripada sumber sah dan bukannya hasil pengubahan wang haram.

Pua juga mempersoalkan keutamaan UMNO yang menurutnya lebih tertumpu kepada usaha mendapatkan tahanan rumah untuk Najib, berbanding menyalurkan sumber parti bagi membantu rakyat biasa. - Getaran, 9 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved