
Ketika virus Y2K millenial sedang melanda peralatan komputer manusia di seluruh dunia, kawan Cina saya Y.S juga secara misterinya tidak muncul bayang kelibat. Beliau tidak hadir ke kelas untuk satu tempoh yang lama dan juga tidak memberi sebarang notis kepada pihak sekolah. Untuk pengetahuan anda, sekolah kami yang berasaskan perempuan terletak di Perkampungan Portugis di Melaka.
Menurut khabar angin makcik-makcik bawang di sekolah, Y.S telah tiba-tiba jatuh sakit teramat teruk pada satu hari dan sedang berubat di sebuah Tokong Cina berasaskan Buddha. Pada mulanya, saya ketawa sendirian kerana tidak percaya akan khabar angin yang tidak logik itu. Jikalau dia betul-betul jatuh sakit, kenapa dia tidak pergi mengambil rawatan di klinik atau hospital? Kecuali dia telah dirasuk oleh jembalang, atau syaitan jahat Pazuzu seperti dalam filem seram Hollywood "The Exorcist".
Tetapi malangnya sekali, sangkaan kedua saya itu betul kerana Y.S memang telah dirasuk oleh roh jahat. Menurut maklumat dalaman dari rakan karib Y.S, roh jahat yang merasuki tubuh Y.S sebenarnya adalah roh mendiang makciknya. Kira-kira pda tahun 1980an, makcik Y.S iaitu Lucy adalah seorang wanita muda yang sangat perawan. Rias wajah wanita muda itu secantik penyanyi Taiwan legenda dan tersohor Teresa Teng. Kulitnya juga selembut halus bak sutera dan teramat cerah seperti iklan TV krim pemutih wanita Fair and Lovely. Oleh itu, Lucy telah dijadikan rebutan gila semua jejaka tampan yang menduduki sekitar bandar Melaka.
Di antara kebanyakan peminat-peminatnya, seorang lelaki muda yang bernama T.K telah berjaya menambat hati wanita cantik dan muda itu dengan keiklasan cinta hatinya. Walaupun Lucy dan T.K saling tulus menyintai sesama-diri, perhubungan cinta mereka tidak direstui oleh datuk Y.S. Menurut jalan ceritanya, datuk Y.S memandang rendah terhadap kekasih makcik Y.S kerana lelaki muda itu miskin dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Tambahan pula, Datuk Y.S juga berasa T.K patut berasa malu dengan diri sendirinya yang bersifat seperti seekor katak hodoh yang tetap mengidamkan daging seekor angsa putih yang cantik.
Namum pada satu hari, Lucy telah bertelingkah dengan ayahnya iaitu datuk Y.S kerana orang tua itu tidak membenarkan anaknya keluar untuk berpacaran dengan kekasihnya T.K. Walaupun orang tua itu berkeras menghalang anak perempuannya daripada keluar, tetapi gadis remaja yang degil itu juga berjaya mencapai keinginannya. Dengan nada kemarahan, orang tua itu memberi amaran keras kepada wanita muda itu supaya jangan balik lagi jika dia berani keluar dari pintu rumah.
Seakan telah dilaknat Tuhan, malam berpacaran romantik Lucy dan kekasihnya T.K telah berakhir dengan tragis dan menyedihkan. Mengikut cerita, Lucy telah dirogol sebelum dibunuh dengan kejam bersama-sama si kekasihnya dengan sebilah parang tajam. Walaupun mayat pasangan kekasih Romeo dan Juliet itu ditemui dalam keadaan reput dan busuk, namun jelas ternampak mayat mereka sedang memeluk sesama-diri seakan-akan mahu memberitahu seluruh dunia bahawa cinta sejati mereka akan dibawa hingga ke akhir liang lahad. Buat pengetahuan semua, mayat mereka dibuang tanpa belas-kasihan seperti sampah-sarap di dalam kawasan lumpur berpaya di sekitar pantai laut Perkampungan Portugis.
Dalam sekelip mata sahaja, bertahun-tahun telah lalu dan orang tempatan di Melaka juga telah lupa akan tragedi lama yang berlaku di Perkampungan Portugis itu. Kini, datuk Y.S juga telah menjadi seorang tua yang uzur tetapi gembira berada di samping cucu-cucunya. Walaupun sikap orang tua itu masih pembengis, dia tetap sayang kepada cucunya Y.S yang mirip sedikit dengan muka mendiang makciknya Lucy.
Tetapi, pada hari jadi Y.S yang ke-enambelas, dia telah menjadi murung dan berkelakuan aneh apabila masa memotong kek hari jadi bersama keluarga tersayang. Tiba-tiba, Y.S meluru dengan pantas ke arah datuknya dan cuba mebunuh orang tua itu dengan mencengkam lehernya. Namun, orang tua itu terselamat daripada sebarang kecelakaan kerana ahli-ahli keluarganya telah panjang akalnya berjaya menghalang dan menarik keluar Y.S yang ternyata bukan diri sendirinya lagi.
Terdapat berbagai khabar angin tentang detik-detik rasukan puaka Y.S itu. Namun, khabar angin yang paling boleh dipercayai adalah mengenai kekuatan luarbiasa yang telah diserap oleh Y.S secara tiba-tiba. Seperti dalam filem aksi "The Hulk", Y.S menjadi begitu kuat dan hebat sehingga dia hampir melemparkan ahli-keluarganya yang ramai secara sekaligus ke atas permukaan dinding. Ada orang juga mengatakan wajah Y.S yang manis juga berubah menjadi seperti pontianak yang amat buruk rupanya tetapi yang paling tak disangka, suara gadis remaja itu telah berubah kepada suara mendiang makciknya Lucy yang telah lama meninggal dunia.
Jikalau anda tertanya-tanya apakah yang terjadi selepas itu, keluarga Y.S telah seterusnya membawa Y.S yang telah sengaja dipengsankan untuk berubat di Tokong Cina di Jalan Gajah Berang. Menurut orang, terdapat seorang sami Buddha di sana yang sangat hebat dan boleh menghapuskan sebarang roh-jahat dengan ilmu ajaibnya. Selepas diperiksa oleh Si Sami Buddha dengan teliti, Y.S disahkan telah dirasuki dan diganggu oleh hantu bengis. Hantu bengis itu ternyata merupakan roh mendiang makcik Y.S iaitu Lucy yang ingin membalas dendam terhadap ayahnya sendiri. Mengikut tilikan Si Sami Buddha, roh makcik Y.S iaitu Lucy berdendam kesumat terhadap ayahnya sendiri kerana si mendiang menganggap orang tua itu bertanggungjawab atas kematiannya.
Untuk mengeluarkan roh bengis daripada badan Y.S dan melupuskan sikap dendam kesumatnya, Y.S terpaksa tinggal di dalam tokong buat sementara untuk berubat sehingga dia pulih sepenuhnya. Buat setiap hari, Y.S juga mesti membaca kitab ajaran Buddha tanpa henti dan menyantap makanan berasaskan sayuran untuk menyucikan tubuh badan. Menurut penjelasan Sami Buddha itu, roh hantu dendam sangat digeruni oleh manusia di permukaan bumi kerana roh berkeliaran mereka masih tersekat di dalam kitaran samsara. Kerana si mendiang telah mati dengan begitu tragis dan mendadak, roh mereka dipenuhi dengan api kemarahan dan oleh demikian, tidak boleh menyeberangi jambatan kelahiran untuk dilahirkan semula sebagai manusia.
Walaupun ramai orang yang mengatakan bahawa Y.S pulih sepenuhnya dan telah menjalani hidup yang normal selepas itu, namun semua rakan sekelas di Tingkatan 4 Kesusasteraan Melayu tidak pernah melihat Y.S di dalam kelas lagi hingga kami menamatkan peperiksaan SPM pada tahun 2001. Selepas saya tamat pengajian di universiti dan telah keluar bekerja sebagai wartawan pada tahun 2010, ada khabar-angin mengatakan mereka terserempak dengan Y.S yang sudah berkahwin dan mempunyai beberapa cahaya mata. Namun sehingga sekarang, pembunuh psikotik mendiang Lucy dan kekasihnya T.K masih hilang tanpa ditemui hidup ataupun sudah mati, walaupun di zaman pembangunan dan teknologi moden kini.

Hantar artikel/video berkaitan #KisahSeram dan berpeluang menangi hadiah sebanyak RM5,500! Ketahui lebih lanjut di sini.
Lim Su Yee adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
