Dengan ciri ini, pengguna iOS 16 tak perlu buktikan anda adalah manusia

TechnologyDigital
21 Jun 2022 • 6:38 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Di laman web mana selalunya anda temui CAPTCHA? CAPTCHA ini adalah satu perkara yang perlu dilakukan untuk membuktikan anda adalah manusia bukannya bot, sebelum dibolehkan untuk mengakses sesebuah laman web. Adakalanya, individu akan diminta untuk selesaikan CAPTCHA seperti menaip semula huruf yang bersepah. Perkara ini memang menyusahkan, lebih-lebih lagi apabila kita ingin cepat mengakses sesebuah laman web itu.

Tapi, jika anda gunakan sistem operasi iOS 16, iPadOS 16 atau pun macOS Ventura, anda boleh langkau sahaja perkara ini untuk sesetengah laman web dan aplikasi. Ciri baharu ini boleh ditemui melalui Automatic Verification.

Untuk aktifkannya, anda perlu ke Settings, kemudian di bawah Apple ID pilih Password & Security, seterusnya anda akan temui ciri Automatic Verification. Apabila anda aktifkannya, laman web yang disokong akan menggunakan iCloud untuk sahkan peranti dan akaun Apple ID anda secara automatik. Jadi, anda tidak akan dipaparkan dengan halaman pengesahan CAPTCHA.

image is not available

Private Access Token adalah sistem di sebalik semua ini dan ia hanya ada pada iOS 16 dan macOS Ventura. Ia akan membenarkan pelayan mempercayai anda secara automatik. Tanpa perlu gunakan CAPTCHA, anda kelak boleh masuk ke laman web dengan menggunakan kata laluan, Touch ID atau Face ID.

Setakat ini, Cloudflare dan Fastly telah pun mengumumkan sokongan untuk Private Access Token. Ini bermaksud, anda akan boleh melangkau CAPTCHA dari aplikasi dan laman web yang dikuasai oleh dua platform tersebut. Apple juga bekerjasama dengan Google untuk menjadikan Private Access Token sebagai standard terbuka, maknanya pasti semua pengguna boleh menggunakan ciri ini termasuklah pengguna Android.