Tular di media sosial memaparkan seorang lelaki bersama lima warga Pakistan nekad terjun sungai bagi membantu kira-kira 30 penduduk Kampung Tengah yang terkesan dengan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini.
Menurut penduduk Kampung Sri Aman, Ahmad Syawal Hassan, 39, dia terdengar suara jeritan mangsa meraung dan menangis sambil mendukung anak mahu menyebarang sungai kerana bahang api terlalu panas.
Kongsinya, pada mulanya dia memanggil penduduk sekitar untuk membantu namun tiada yang berani ke sungai berkenaan.
Namun, dia kemudiannya memanggil beberapa warga Pakistan yang berada berdekatan bagi membantu menyelamatkan mangsa-mangsa terlibat.
“Mereka terus terjun ke sungai untuk menyelamatkan kanak-kanak yang melecur.
“Kira-kira lima warga Pakistan mendukung kanak-kanak sambil berenang menuju ke kampung kami,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Warga Pakistan Nekad Terjun

Sementara itu, seorang warga Pakistan, Jaaffar Ali, 48, berkata, dia mendengar jeritan meminta tolong dari seberang sungai tetapi suaranya tenggelam akibat bunyi letupan gas. Dia cuba memberi amaran supaya tidak menyeberangi sungai kerana arus deras, namun beberapa individu tetap berbuat demikian. Melihat ada yang hampir lemas, Jaaffar terjun ke sungai dan berjaya menyelamatkan mereka. Seramai 30 orang cuba menyeberang, tetapi hanya tujuh yang berjaya ke Kampung Sri Aman, manakala yang lain dinasihatkan supaya tidak meneruskan perjalanan. Seorang lagi warga Pakistan, Amer Nawab, 48, berkata dia dan rakannya mengambil risiko menyelamatkan kanak-kanak yang berenang di sungai. Bahang api terasa panas walaupun di dalam air, dan beberapa kanak-kanak mengalami melecur, tetapi mereka bersyukur semuanya selamat.
Sumber: TikTok search, FB Sinar Harian, Harian Metro (Hafidzul Hilmi Mohd Noor)
The post Dengar Mangsa Jerit Minta Tolong, 5 Warga Pakistan Nekad Terjun Sungai Selamatkan Penduduk appeared first on Borak Daily.



