"Dengar Suara..." Kaki Pancing Kongsi Pengalaman Diganggu Pocong Ketika Memancing

LocalLifestyle
20 Apr 2026 • 12:00 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

"Dengar Suara..." Kaki Pancing Kongsi Pengalaman Diganggu Pocong Ketika Memancing

"Dengar Suara..." Kaki Pancing Kongsi Pengalaman Diganggu Pocong Ketika Memancing

Secara umum, dunia ini bukan hanya didiami oleh manusia dan hidupan bernyawa yang boleh dilihat dengan mata kasar sahaja.

Hakikatnya ia turut ‘dihuni’ oleh makhluk-makhluk lain yang terhijab daripada pandangan mata kita.

Antara tempat yang sering dikaitkan dengan kehadiran makhluk halus ialah kawasan sunyi, bangunan lama, hutan atau kawasan berair seperti sungai, tasik dan paya.

Lelaki kongsi pengalaman diganggu hantu pocong ketika memancing

Baru-baru ini, perkongsian seorang lelaki menjadi perhatian ramai apabila dia menceritakan pengalaman ‘diganggu’ ketika sedang memancing bersama kawannya.

Menerusi hantaran @amir_alias._ di Threads, kejadian ini berlaku pada November 2024 ketika Amir baru sahaja menceburi dunia memancing.

Aku dan seorang housemate aku, Haikal memang sangat aktif memancing setiap kali ada masa lapang pada waktu malam. Biasanya kami menangkap ikan gelama, bulus dan kerapu.

Pada suatu malam sekitar jam 9.30 malam, selepas selesai makan malam, Haikal baru pulang dari kerja di Johor Bahru.

Ketika itu dia melihat aku sedang cuba belajar mengikat perambut sendiri.

“Kau nak pergi mancing ke, Mir?” tanya Haikal.

“Aku tak pasti lagi, kau baru balik ni tak penat ke?” jawab aku.

“Gih ngail,” balasnya ringkas.

Tanpa berfikir panjang, kami terus bersiap dan bergerak ke lokasi memancing baharu yang kami rancang untuk cuba.

Image from: "Dengar Suara..." Kaki Pancing Kongsi Pengalaman Diganggu Pocong Ketika Memancing

Kira jam 10.00 malam, kami tiba di Kampung Johor Lama. Sebelum bergerak, kami sudah pun merancang untuk memancing hingga jam 1.30 pagi.

“Kita mancing sampai 1.30, lepas tu balik,” kata kami berdua.

Kalau keadaan terlalu sunyi, kita tukar spot ke belakang sekolah, satu kawasan muara kecil yang tidak jauh dari situ.

Malam itu bulan penuh, dan kami hanya menggunakan umpan udang kopek. Suasana sangat tenang, angin malam bertiup perlahan, dan kami berbual seperti biasa tentang kehidupan serta kerja.

Tiada kelibat orang kampung yang lalu, semuanya sunyi sepi.

"Hati-hati bang"

Cahaya biru dari kereta peronda Honda tiba-tiba memecah kesunyian malam yang gelap gelita.

Kenderaan itu berhenti betul-betul di belakang pondok tempat kami memancing. Dua orang anggota polis kemudian turun dan menegur kami dengan mesra.

“Dari mana bang? Dah lama ke mancing? Lighter ada tak?”

Bertalu-talu soalan diajukan kepada kami dan tanpa berfikir panjang, aku pun terlepas cakap.

“Kami nak tukar spot, belakang sekolah tu. Sunyi sangat, ikan pun tak makan umpan”

Riak wajah salah seorang polis berubah serius.

“Belakang tu hati-hati bang, ada kes,” katanya ringkas sebelum mereka berlalu pergi meneruskan rondaan.

Aku dan Haikal saling berpandangan. Pada mulanya kami menganggap itu hanya sekadar nasihat biasa untuk menakut-nakutkan kami.

Namun tanpa banyak fikir, kami tetap meneruskan rancangan.

“Jom lah Kal, belakang sekolah,” kata aku.

“Jom,” jawabnya.

Kira-kira jam 11.15 malam, kami bergerak ke spot kedua. Sepanjang memancing, hanya dua ekor ikan bulus berjaya kami naikkan.

Terdengar satu suara dari arah kiri seberang sungai

Suasana di kawasan itu jauh lebih sunyi daripada sebelumnya. Dengan cahaya bulan penuh, kami dapat melihat jelas kawasan seberang yang dipenuhi pokok bakau.

Namun peliknya, tiada bunyi cengkerik, tiada bunyi monyet dan hanya ada kesunyian yang terlalu aneh.

Sedang kami memancing, sekitar jam 11.30 malam, tiba-tiba kedengaran satu suara dari arah kiri seberang sungai.

Suara itu cukup jelas hingga membuatkan bulu roma kami meremang. Kami yang tadi rancak berbual terus terdiam. Suasana menjadi tegang.

Tanpa berkata apa-apa, kami mematikan lampu kepala masing-masing. Seolah-olah kami sedar ada sesuatu yang sedang memerhatikan dari jauh. Haikal kemudian bersuara perlahan.

“Mir, kau mancing belah kanan sini,” katanya.

Aku hanya menurut tanpa banyak soal. Umpan pun aku lepaskan begitu sahaja ke dalam air, sudah tidak peduli lagi.

Haikal sekali lagi mendengar suara yang sama kira-kira jam 11.45 malam. Kali ini lebih jelas. Wajahnya berubah serius, sesuatu yang jarang aku lihat daripadanya.

“Mir, angkat joran. Tinggal je umpan. Jom balik ke kereta,” katanya tegas.

Aku pun apa lagi, karau laju-laju, ikat rod lepastu terus gerak. Sekitar jam 12.00 pagi, kami sudah berada dalam kereta. Dalam keadaan masih terkejut, kami saling bertanya.

“Kau dengar tak tadi?” tanyaku.

“Aku dengar dua kali,” jawab Haikal.

“Aku cuma dengar sekali je…”

Saat itu aku benar-benar rasa seram. Dalam perjalanan pulang, barulah Haikal menceritakan perkara sebenar.

Bunyi pertama yang dia dengar, dia sempat melihat satu kelibat di tebing seberang.

Sebab itu dia menyuruh aku tukar posisi dengan dia. Bunyi kedua pula katanya kelibat itu sudah berada lebih dekat, seakan-akan melompat ke tebing kami.

Silap hari bulan kalau tak cau pada pukul 11.50 tu memang kena sergah dah dengan hantu bungkus. Sampai di rumah sekitar jam 12.40 malam, kami terus mandi dan tidur.

@amir_alias._ turut menambah bunyi yang didengarinya pada waktu itu hampir sama seperti bunyi yang ada dalam video di bawah, cuma ia kedengaran sangat singkat.

Image from: "Dengar Suara..." Kaki Pancing Kongsi Pengalaman Diganggu Pocong Ketika Memancing
Baca juga:

View Original Article