Nama Dennis Austin kami yakin tidak dikenali ramai seperti Bill Gates, John Carmack dan Grace Hopper tetapi beliau ialah jurutera perisian yang bertanggungjawab membangunkan Powerpoint. Pada 1 September lalu beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun akibat kanser paru-paru yang merebak ke bahagian otak.

Powerpoint dilancarkan pada tahun 1987 dengan ia dibangunkan oleh Austin berasaskan idea Robert Gaskins semasa mereka berdua bertugas di firma Forethought. Austin bertanggungjawab menghasilkan perisian yang pada mulanya menggunakan nama Presenter dan adalah untuk Macintosh. Menurut Gaskins, kebanyakan ciri-ciri awal dalam Powerpoint adalah hasil buah fikiran Austin.
Beberapa bulan selepas Powerpoint dilancarkan, Microsoft mengambil alih Forethough pada nilai $13 juta yang menjadikannya pembelian terawal oleh firma teknologi tersebut. Kini 30 juta pembentangan dihasilkan setiap hari menggunakan Powerpoint dan menjadi amat sinonim dengan sut perisian Microsoft Office.
- Sumber
- Washington Post


