Dentuman pagi kejutkan peniaga, empat kenderaan rosak

3 Apr 2026 • 5:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kejadian menyebabkan kerosakan pagar dan empat buah kenderaan - Foto: Muhammad Shazwan

ALOR SETAR – Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila empat buah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah dirempuh jiran dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, Jumaat.

Muhamad Shazwan Abdul Hisham, 33, berkata, kejadian disedari selepas terdengar dentuman kuat ketika berada di dalam rumah bersama isteri dan dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun di Taman Pinang Emas, Bukit Pinang di sini.

Dia kemudian terkejut apabila semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pintu pagar rumah terbuka.

“Selepas keluar dan membuat pemeriksaan, saya mendapati jiran di hadapan rumah merempuh pintu pagar sehingga mengenai motosikal Honda X-ADV, Ford Ranger Raptor, Toyota Alphard dan Honda Civic,” katanya.

Beliau mendakwa terdapat kenderaan yang kemek pada bahagian tepi, bampar dan pintu, selain lampu belakang pecah, ekzos patah serta kerosakan lain.

Muhamad Shazwan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan jiran yang dipandu seorang wanita berusia 63 tahun terbabas ketika mahu keluar ke tempat kerja sehingga memasuki kawasan rumahnya.

Kejadian itu turut menyebabkan pintu pagar rumahnya rosak.

Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian masih belum dapat dianggarkan setakat ini.

Difahamkan, laporan polis dibuat sekitar jam 9 pagi dan setakat ini pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berhubung kejadian terbabit.