
DENZA Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan DENZA Z9GT, menandakan penampilan sulung model Grand Tourer (GT) mewah pintar berkenaan bagi pasaran Asia Pasifik pada harga bermula RM358,800.

Z9GT dibina berasaskan e3 Platform canggih BYD yang dikuasakan oleh sistem pacuan semua roda tri-motor. Rangkaian kuasa luar biasa ini menghasilkan 850 kW (1,156 PS) dan tork 1,210 Nm, membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 2.7 saat sahaja dengan jarak pemanduan elektrik sehingga 701 km (NEDC).

Model ini merupakan antara yang terawal dilengkapi dengan Bateri Blade Generasi Kedua BYD berkapasiti 122.49 kWh dengan seni bina voltan tinggi 1,000V. Menyokong penuh Teknologi Pengecasan Kilat BYD, bateri ini menawarkan keupayaan pengecasan ultra pantas yang sangat mengagumkan, di mana ia hanya memerlukan 5 minit untuk cas dari 10% hingga 70%, dan 9 minit dari 10% hingga 97%.


Menjengah ke bahagian kabin, ia menawarkan ruang serba mewah yang dilengkapi sistem audio 20 pembesar suara Devialet, ketersambungan pintar dengan Google terbina dalam, serta pilihan kemasan dalaman premium yang eksklusif. Di bahagian luaran, pembeli boleh memilih antara warna Rime Gold atau Obsidian Black yang dipadankan dengan reka bentuk dalaman bertema estetik.

Setiap pembelian didatangkan dengan pakej pemilikan seperti waranti kenderaan 6 tahun/150,000km, servis penyelenggaraan percuma selama 6 tahun (bernilai RM10,000), serta waranti bateri dan unit pacuan selama 8 tahun/160,000km. Sebagai keistimewaan tambahan, pembeli turut menerima hadiah eksklusif sepasang fon telinga ultra-premium DENZA x Devialet bernilai RM2,000.

