SETIAP kali keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, suasana kegembiraan pasti menyelubungi ribuan keluarga di seluruh negara. Tahun ini, lebih 13,000 calon berjaya meraih keputusan cemerlang dengan gred A dalam semua mata pelajaran, malah ratusan daripadanya memperoleh A+ penuh.
Bagi ramai pelajar pintar ini, satu impian yang sering menjadi pilihan ialah untuk bergelar doktor perubatan. Di mata masyarakat, deretan A seolah-olah sudah cukup untuk membuka laluan ke sekolah perubatan. Namun hakikatnya, perjalanan sebenar jauh lebih mencabar daripada apa yang dibayangkan.
Ramai yang hanya menyedari perkara ini selepas melangkah keluar dari alam sekolah.
Selepas SPM, langkah pertama ialah memohon kemasukan ke program pra-universiti seperti matrikulasi, asasi atau STPM. Di sinilah bermulanya persaingan sebenar. Walaupun sistem kemasukan mengambil kira pencapaian akademik yang tinggi, ia bukan sekadar soal siapa paling banyak A.
Ada pelajar yang memperoleh markah merit yang sangat tinggi, namun tetap gagal mendapat tempat kerana tidak memenuhi syarat khusus sesuatu program. Contohnya, kekurangan gred tertentu dalam subjek sains seperti Biologi atau Kimia boleh menyebabkan permohonan ditolak secara automatik.
Situasi ini sering mengejutkan pelajar dan ibu bapa, kerana mereka menyangka kecemerlangan keseluruhan sudah memadai.
Bagi mereka yang berjaya melepasi fasa ini, cabaran seterusnya menjadi lebih getir. Di peringkat pra-universiti, pelajar perlu mengekalkan prestasi akademik yang sangat tinggi, lazimnya dengan purata nilai gred menghampiri sempurna.
Dalam masa yang sama, mereka juga perlu memenuhi keperluan lain seperti tahap penguasaan bahasa Inggeris melalui ujian standard, selain dalam sesetengah kes menduduki ujian khas kemasukan perubatan yang menilai keupayaan berfikir dan membuat keputusan.
Namun begitu, semua pencapaian ini masih belum menjamin tempat. Halangan paling besar sebenarnya datang dalam bentuk temu duga, khususnya melalui pendekatan yang kini digunakan oleh banyak universiti, iaitu sesi temu duga berperingkat yang menilai pelbagai situasi secara berasingan.
Di sinilah ramai calon cemerlang mula terserlah kelemahannya. Ada yang mampu menjawab soalan akademik dengan baik, tetapi gagal berkomunikasi secara jelas. Ada yang bijak, tetapi kurang empati apabila berhadapan dengan situasi pesakit. Ada juga yang hanya mengulang jawapan klise tanpa menunjukkan kefahaman sebenar tentang peranan seorang doktor.
Dalam sesi ini, calon mungkin diminta berdepan dengan situasi pesakit yang cemas, keluarga yang tertekan, atau dilema membuat keputusan yang sukar. Keupayaan untuk mendengar, memahami dan memberi respons secara berhemah menjadi penilaian utama. Pada tahap ini, deretan A tidak lagi menjadi kelebihan mutlak.
Bagi yang berjaya menembusi saringan universiti awam, mereka boleh menarik nafas lega kerana yuran pengajian disokong kerajaan. Namun tempat yang ditawarkan sangat terhad. Sebahagian pelajar memilih laluan universiti swasta, yang menawarkan peluang kemasukan lebih luas tetapi memerlukan komitmen kewangan yang besar. Walau apa pun laluan yang diambil, satu perkara tetap jelas iaitu bidang perubatan bukan sekadar untuk mereka yang cemerlang di dalam peperiksaan.
Hakikatnya, profesion ini menuntut lebih daripada sekadar kecerdasan akademik. Ia memerlukan ketahanan emosi, disiplin yang tinggi, serta kemampuan untuk berhadapan dengan manusia dalam saat paling sukar dalam hidup mereka. Dalam konteks ini, minat yang mendalam dan keikhlasan untuk membantu orang lain menjadi asas penting agar seseorang terus kekal komited dalam bidang ini.
Seorang doktor bukan hanya membaca keputusan ujian, tetapi mendengar keluhan pesakit, menenangkan keluarga, dan membuat keputusan yang boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang. Semua ini tidak diajar sepenuhnya melalui buku teks.
Bagi pelajar lepasan SPM yang bercita-cita menjadi doktor, kejayaan hari ini wajar dilihat sebagai permulaan, bukan penamat. Mereka perlu mula membina diri secara menyeluruh dengan cara memahami ilmu dengan lebih mendalam, melatih kemahiran komunikasi, serta membentuk keperibadian yang empati dan matang dalam membuat pertimbangan.
Akhirnya, dunia perubatan tidak hanya mencari pelajar yang paling cemerlang di atas kertas, tetapi individu yang benar-benar bersedia untuk memikul amanah besar dalam menjaga nyawa manusia.
* Dr Azril Shahreez Abdul Ghani ialah Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan di Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
* Dr Yasrul Izad Abu Bakar ialah Pensyarah Pendidikan Perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
