
KUALA LUMPUR - Timbunan mayat memenuhi bandar Gaza, ditimbus puing-puing peperangan yang bukan berpaksikan kepada menuntut keadilan, membela keselamatan atau membalas dendam.
Serangan terbaharu rejim Zionis beberapa hari lalu meragut lebih 400 nyawa, hanya dalam tempoh satu malam.
Lebih daripada 100 mangsa adalah kanak-kanak yang bersih daripada sebarang dosa dan noda.
Tubuh mereka dimamah rakus oleh serangan udara Israel yang ‘tepat’ dalam mencari mangsa, waima jika mereka sedang bersembunyi di dalam kereta.
Anehnya, senjata yang dikatakan ‘bijak’ mencari mangsa itu boleh pula ‘tersalah arah’ dan membedil sebuah blok pangsapuri yang didiami beberapa keluarga.
Seperti biasa, naratif Zionis tetap sama; serangan ini untuk membebaskan tebusan, serangan ini untuk membalas tindakan Hamas, serangan ini untuk menjaga keselamatan.
Tapi dunia tahu ia adalah dusta semata-mata.
Benjamin Netanyahu
Hakikatnya, serangan tersebut adalah tentang kelangsungan hidup seorang lelaki—Benjamin Netanyahu, ahli politik yang dipalit darah jutaan nyawa sehingga membuatkan Macbeth kelihatan seperti seorang amatur.

Sejarah dipenuhi dengan kisah lelaki seperti Netanyahu. Lelaki yang rakus kuasa dan memimpin bukan bersandarkan kepada dasar tetapi nafsu semata-mata.
Jika Stalin terkenal dengan pembantaiannya, Hitler dengan blitzkrieg dan Pol Pot dengan ladang pembunuhan, Netanyahu pula memilliki Gaza sebagai ‘tanda mata’.
Bom digunakan tentera pimpinannya jatuh ke atas orang yang kelaparan, dahaga dan lemah kerana ia adalah talian hayat buat lelaki terkejam dunia itu.
Talian hayat politik Netanyahu menggunakan mayat rakyat Palestin sebagai kayu ukur.
Tidak Peduli
Bagi penduduk Gaza, tiada jalan keluar. Pengepungan selesai. Tiada makanan. Tiada air. Hanya kematian yang perlahan dan menyakitkan bagi mangsa yang terperangkap di antara kelaparan dan letupan.
Mereka berpuasa untuk Ramadan di bawah pengawasan dron, solat mereka ditenggelami deruan jet. Ini bukan peperangan kerana peperangan adalah antara dua pihak yang bertelagah. Ini adalah hukuman. Ini adalah pemusnahan besar-besaran.
Namun, masyarakat Israel hakikatnya ketika ini semakin berpecah belah.
Ada yang bersorak atas pembunuhan beramai-ramai itu kerana yakin ia akan mengembalikan tebusan dan yakin bahawa membakar hospital dan kem pelarian adalah sebab yang benar.
Tetapi keluarga tebusan itu—yang paling penting—tahu kebenaran. Kerana itu mereka memohon gencatan senjata.
Mereka tahu bahawa setiap bom yang dijatuhkan ke atas rejim Zionis bermakna peluang untuk insan kesayangan mereka pulang ke rumah dengan selamat semakin menipis.
Namun seperti biasa, Netanyahu terus bersikap tidak peduli walaupun dia berkuasa untuk menamatkan semua konflik berdarah ini.
Pertahanan Seekor Raksasa
Hamas menawarkan perjanjian untuk membebaskan tebusan, tetapi Netanyahu tetap menolak kerana buat lelaki ini, pembebasan tebusan bukan jawapannya. Dia mahukan peperangan.

Jika perang ini berakhir, begitu juga talian hayat Netanyahu. Pakatannya akan runtuh. Perbicaraan rasuah melibatkan dirinya disambung semula. Warisan ditinggalkannya bakal bertukar menjadi kumbahan skandal dan pembohongan menjadi debu.
Jadi, bom terus jatuh. Kanak-kanak terus mati. Dengan cara ini, jentera politik Netanyahu akan terus bergerak ke hadapan, didorong oleh darah rakyat Palestin yang mengalir.
Dunia memerhati, seperti biasa. Kenyataan berunsur ‘kebimbangan mendalam’ dikeluarkan. Mereka menyampaikan ucapan dengan kerutan di dahi bagi menggambarkan kekecewaan.
Tetapi, mereka tidak akan berbuat apa-apa. Mereka tidak akan berkata apa-apa. Mereka akan membiarkannya berlaku, seperti yang selalu mereka lakukan. Dan Netanyahu?
Dia akan berarak, menginjak-injak mayat orang yang tidak bersalah, mengubah Gaza menjadi Golgota peribadinya sendiri, sebuah pembantaian untuk kepentingan politik.
Semuanya kerana ini adalah bagaimana kuasa disimpan, kerana begitulah sejarah ditulis dan kerana ini adalah bagaimana seekor raksasa bertahan. - Getaran, 22 Mac 2025
