Derma darah untuk nyawa orang lain

Health & Fitness
31 Jul 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Derma darah untuk nyawa orang lain

BERBICARA tentang darah, ia merupakan satu cecair yang penting untuk kehidupan manusia.

Tanpa kita sedari, sebenarnya setiap hari ribuan pesakit di hospital bergantung kepada bekalan darah untuk meneruskan kehidupan.

Darah diperlukan untuk merawat mangsa kemalangan, pesakit kanser, ibu yang mengalami komplikasi pendarahan ketika bersalin dan lain-lain lagi.

Untuk itu, pendermaan darah menjadi sesuatu perkara yang amat penting bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi apabila diperlukan.

Walaupun teknologi perubatan berkembang pesat, darah manusia masih belum dapat dihasilkan secara sintetik di makmal

Pensyarah Perubatan yang juga Pakar Perubatan Transfusi di Jabatan Perubatan Klinikal, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia, Dr. Siti Salmah Noordin berkata, ramai beranggapan bahawa kemajuan teknologi mampu menggantikan keperluan pendermaan darah.

Hakikatnya, sehingga hari ini belum ada satu produk buatan manusia yang dapat menggantikan sepenuhnya fungsi darah dalam amalan klinikal.

“Justeru, budaya pendermaan darah perlu dibentuk sejak usia muda dan murid-murid seawal usia di sekolah rendah dari tahun 4 hingga 6 seharusnya didedahkan dengan aktiviti dan pendidikan berkaitan pendermaan darah.

“Selain itu, penubuhan kelab penderma darah di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan komuniti, serta pelantikan ‘Duta Penderma Darah’, berpotensi memupuk budaya pendermaan darah daripada hanya bergantung kepada hebahan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Pembudayaan pendermaan darah secara berterusan dalam masyarakat bukan sahaja menjamin kesinambungan bekalan darah negara, malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat kerana individu yang berhasrat untuk menderma darah terdorong untuk mengekalkan tahap kesihatan yang optimum agar kekal layak sebagai penderma.

Dr. Siti Salmah berkata, pengalaman pertama sering menentukan sama ada seseorang akan menjadi penderma tetap.

“Proses pendermaan juga perlu mesra, cepat dan selesa dengan layanan profesional daripada petugas kesihatan.

“Susulan selepas pendermaan darah seperti penghargaan, sijil digital atau mesej ringkas yang memaklumkan bahawa darah mereka telah membantu pesakit boleh meningkatkan kepuasan dan menggalakkan pendermaan darah secara berkala,” jelasnya.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu melihat pendermaan darah sebagai satu tanggungjawab sosial.

Walaupun tidak semua orang mampu menjadi penderma darah, tetapi setiap individu boleh memainkan peranan dengan menggalakkan orang lain untuk menderma darah secara berkala.

Cabaran masyarakat menua memerlukan perancangan yang lebih strategik dalam pengurusan bekalan darah negara.

Dalam konteks masyarakat menua pada masa ini, pendermaan darah merupakan salah satu pelaburan sosial yang strategik bagi menjamin kemampanan bekalan darah, sekali gus memastikan keperluan transfusi pesakit dapat dipenuhi secara berterusan.

The post Derma darah untuk nyawa orang lain appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved