Deruman 26 motosikal kuasa tinggi meriahkan KMJG Wilayah Persekutuan

4 Aug 2023 • 7:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Deruman 26 enjin motosikal berkuasa tinggi sempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan di ibu kota.

Pengarah Jabatan Penerangan Kuala Lumpur Lim Ann Tek berkata konvoi KMJG selama dua hari bermula hari ini akan menjelajah sejauh 65 kilometer sekitar ibu negara antaranya Titiwangsa, Pantai Dalam, Dataran Merdeka dan Bandar Tun Razak sebelum berakhir di Dataran Putrajaya esok.

“Para peserta akan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia sepanjang perjalanan itu.

“Saya juga berharap agar semua rumah mahupun sekolah dapat mengambil peluang untuk mengibar Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata konvoi itu terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Belia dan Sukan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Pos Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Lim juga berharap rakyat Malaysia dapat mengambil bahagian bagi memeriahkan Bulan Kebangsaan khususnya pada hari sambutan 31 Ogos di Putrajaya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa Zamzuri Abdullah pula berkata pihaknya amat berbangga kerana terpilih menjadi lokasi pertama dalam KMJG peringkat WPKLP tahun ini.

Beliau berkata konvoi tersebut turut menceriakan hampir 350 pelajar sekolah itu selain memberi pendedahan tentang Bulan Kebangsaan dan menyemai semangat cintakan negara.

“Konvoi hari ini telah memberi semangat untuk anak-anak di sekolah ini bagi menyambut Bulan Kebangsaan, saya percaya program seperti ini dapat menyemai semangat patriotisme kepada pelajar-pelajar di sekolah,” katanya.

Bagi peniaga kedai makan di Chow Kit Lee Xi Jian, 32, beliau serta anak-anaknya cukup gembira apabila melihat konvoi yang dipenuhi jalur gemilang itu melewati jalan raya di ibu kota.

“Kami cukup seronok tengok konvoi motor-motor besar ini yang dihiasi banyak bendera Malaysia tapi paling menarik ialah anak-anak saya dapat pengalaman duduk di atas motor besar ini,” katanya. -Bernama