Desakan Isytihar Banjir Sumatera Sebagai Bencana Nasional, Prabowo Tegaskan Keadaan Terkawal

WorldEnvironment
16 Dec 2025 • 2:32 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

JAKARTA — Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memaklumkan wujud desakan supaya bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Sumatera diisytiharkan sebagai Bencana Nasional, lapor Kumparan News.

Menurut beliau, setakat ini jumlah korban di Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh telah melebihi 1,000 orang, sekali gus menjadikan bencana tersebut antara yang terburuk di negara itu dalam tempoh terdekat.

Prabowo berkata, ramai pemimpin dunia turut menghubunginya bagi menawarkan bantuan kemanusiaan untuk Indonesia.

“Saya telah dihubungi oleh ramai ketua negara yang ingin memberikan bantuan. Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan tersebut, namun kami mampu. Indonesia mampu menangani ini,” katanya ketika Sidang Kabinet Paripurna di Istana Negara, Isnin.

Kerajaan Kerah Bantuan Tiga Wilayah

Dalam pada itu, Prabowo menegaskan situasi semasa masih terkawal walaupun terdapat tuntutan daripada beberapa pihak agar bencana berkenaan diisytiharkan sebagai Bencana Nasional.

“Kami telah mengerahkan bantuan melibatkan tiga daripada 38 provinsi. Jadi keadaannya terkawal dan saya akan terus memantau,” jelas beliau.

Beliau turut memaklumkan kerajaan merancang untuk menubuhkan sebuah badan atau Satgas Rehabilitasi Konstruksi dalam masa terdekat bagi menyelaras usaha pembinaan penempatan sementara serta kediaman kekal untuk mangsa terjejas.

Ribuan Rumah Akan Dibina

Mengulas lanjut, Prabowo berkata kerajaan Indonesia akan memulakan pembinaan ribuan rumah bermula minggu hadapan di tiga wilayah yang terkesan akibat banjir dan tanah runtuh.

“Mulai minggu ini, kita akan membina 2,000 rumah. Berkemungkinan ia dijadikan kediaman tetap dan akan melibatkan kerjasama semua pihak. Jangan jadikan isu tanah sebagai alasan, gunakan sahaja tanah milik negara yang tersedia,” katanya.

Tambah beliau, proses rehabilitasi dan pembinaan semula akan terus dipantau bagi memastikan kebajikan mangsa terpelihara serta pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera. – The Malaysian Update

The post Desakan Isytihar Banjir Sumatera Sebagai Bencana Nasional, Prabowo Tegaskan Keadaan Terkawal appeared first on The Malaysian Update.