Desakan pecat Exco UMNO tidak berasas, bersifat politik persepsi - Omar Al-Khattab

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 3:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Desakan pecat Exco UMNO tidak berasas, bersifat politik persepsi - Omar Al-Khattab
Info grafik mengenai kenyataan media Omar Al-Khattab pada Rabu.

HULU SELANGOR – Kenyataan Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash yang mendesak Exco kerajaan negeri dari UMNO dipecat daripada pentadbiran negeri sebagai tidak berasas dan bersifat politik persepsi.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor, Omar Al-Khattab Kasim berkata, tindakan itu menunjukkan pihak berkenaan seolah-olah ketandusan idea apabila terpaksa mengaitkan isu dari negeri lain untuk menyerang UMNO di Selangor.

"Pemuda UMNO Hulu Selangor memandang sinis kenyataan Sathia yang begitu ghairah mendesak wakil UMNO dipecat daripada pentadbiran negeri.

"Lebih menghairankan apabila mereka mengheret isu politik di negeri lain untuk dijadikan modal menyerang UMNO di Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Omar Al-Khattab memberitahu, tindakan itu jelas membuktikan mereka ketandusan idea serta gagal menjawab pelbagai kelemahan pentadbiran sendiri di negeri ini.

Menurut beliau, isu yang dibangkitkan oleh pihak berkenaan juga tidak berkaitan dengan Selangor, sebaliknya melibatkan situasi di Negeri Sembilan, namun cuba dijadikan bahan politik di negeri ini.

"Kita hairan, isu yang berlaku ini hanya melibatkan Negeri Sembilan, tetapi seolah-olah pemimpin PKR ingin mencetuskan perpecahan dalam Pakatan Harapan di Selangor.

"Isu Negeri Sembilan berbeza dengan isu di Selangor," jelas beliau.

Omar Al-Khattab berkata, rakyat Selangor ketika ini lebih memerlukan perhatian terhadap isu-isu asas seperti kos sara hidup, banjir berulang, pembangunan tidak seimbang, peluang pekerjaan dan masalah perumahan.

"Rakyat sedang berdepan tekanan harian yang memerlukan perhatian segera, bukannya pertelingkahan politik tidak berkesudahan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut membangkitkan isu lain yang didakwa kurang diberi perhatian oleh pihak tertentu termasuk polemik melibatkan penternakan babi di Seri Kembangan yang menimbulkan keresahan rakyat.

"Lebih memalukan apabila mereka lantang menyerang pihak lain, namun membisu apabila timbul isu yang membabitkan ADUN Seri Kembangan,” katanya.

Omar Al-Khattab menegaskan, jika benar soal prinsip dan tanggungjawab menjadi keutamaan, maka PKR Selangor perlu terlebih dahulu menilai dan menegur kepimpinan dalam parti sendiri.

"Utamakan titah Tuanku, antaranya menyelesaikan isu banjir yang masih berlarutan di Selangor,” katanya.

Beliau pada masa sama yakin rakyat Selangor kini semakin matang dalam menilai tindakan politik semua pihak.

"Jangan pinjam isu negeri lain untuk menutup masalah sendiri di Selangor," tegas beliau.

Terdahulu, Sathia menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memecat Exco kerajaan negeri daripada Umno, Datuk Rizam Ismail.

Gesaan itu dibuat susulan tindakan Umno mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan PKR di Negeri Sembilan.

View Original Article