johardy28/07/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Julai – Anak syarikat Destini Berhad, M Rail Technics Sdn. Bhd. (RAILTEC) memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM45.58 juta daripada Railway Assets Corporation (RAC) bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk 13 set tren Diesel Multiple Unit (DMU) Kelas 61.
RAILTEC, yang dimiliki 70% oleh Destini dan 30% oleh KTMB, akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan MRO Tahap 1 (L1) dan Tahap 2 (L2) di bawah kontrak selama 24 bulan itu.
Kontrak tersebut akan bermula pada 1 September 2026 dan berakhir pada 31 Ogos 2028.
Menurut Destini, penganugerahan itu melengkapkan keupayaan RAILTEC merangkumi keseluruhan spektrum MRO rel daripada Tahap 1 hingga Tahap 4, meliputi penyelenggaraan operasi harian hingga kerja baik pulih berat.
RAC ialah badan berkanun yang bertanggungjawab memiliki, mengurus dan menyelia aset kereta api Malaysia.
RAILTEC ditubuhkan pada 2021 sebagai usaha sama antara Destini dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Portfolio kontrak MRO rel melebihi RM800 juta
RAILTEC memulakan portfolionya pada tahun sama selepas memperoleh dua kontrak baik pulih berat Tahap 4 (L4) bernilai gabungan hampir RM700 juta.
Kontrak tersebut melibatkan kerja MRO bagi 35 set tren enam gerabak Kelas 92 dan 10 set Electric Train Service (ETS) Kelas 93.
Pada 2025, RAILTEC mengembangkan lagi perkhidmatannya selepas memperoleh kontrak MRO Tahap 3 (L3) bernilai kira-kira RM71 juta bagi sembilan set ETS 2.
Kontrak terbaharu daripada RAC bagi kerja penyelenggaraan L1 dan L2 untuk 13 set DMU Kelas 61 melengkapkan perkembangan keupayaan syarikat merangkumi keempat-empat tahap MRO.
Berdasarkan nilai yang diumumkan, tiga kelompok kontrak itu mempunyai nilai gabungan melebihi RM800 juta, termasuk hampir RM700 juta bagi kontrak L4, kira-kira RM71 juta bagi kontrak L3 dan RM45.58 juta bagi kontrak L1 serta L2.
Destini berkata, RAILTEC kini mempunyai keupayaan menyeluruh merangkumi semua tahap dalam rantaian nilai MRO rel, sekali gus meletakkannya sebagai penyedia penyelesaian penyelenggaraan dan kejuruteraan rel tempatan yang paling komprehensif di Malaysia.
Perkukuh keupayaan tempatan dalam penyelenggaraan rel
Pencapaian itu turut menyokong komitmen Destini untuk memperkukuh keupayaan tempatan dalam penyelenggaraan rel, yang merupakan keutamaan negara bagi memperkukuh keupayaan kejuruteraan tempatan serta meningkatkan keupayaan berdikari negara dalam sektor MRO rel, selaras dengan aspirasi Dasar Pengangkutan Negara.
Penyelenggaraan aset tren dibahagikan kepada empat tahap berdasarkan skop serta kerumitan kerja.

Pengarah Eksekutif Destini Berhad, Ismail Mustaffa berkata, kontrak itu merupakan pencapaian penting bagi RAILTEC.
"Melalui pemerolehan keupayaan Tahap 1 dan Tahap 2 yang melengkapkan kepakaran sedia ada kami dalam Tahap 3 dan Tahap 4, kami kini merupakan satu-satunya penyedia MRO rel di Malaysia yang mampu menyokong armada pengendali sepanjang keseluruhan kitaran hayatnya, daripada penyelenggaraan rutin harian di depoh hingga kerja baik pulih berat.
"Perkembangan ini mengangkat RAILTEC daripada sekadar pakar baik pulih berat kepada penyedia perkhidmatan MRO rel yang komprehensif, sekali gus mengukuhkan kedudukan Destini sebagai tonggak penting dalam ekosistem penyelenggaraan dan kejuruteraan rel negara," katanya. - DagangNews.com

