
PENYANYI kesayangan Sabah, Stacy Anam mencipta sejarah apabila hampir 3,000 peminat membanjiri dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi menyaksikan konsert solo mega pertamanya di tanah kelahiran, Aku Stacy (Menggegar Kota U) Sabtu lalu.
Dengan sorakan yang menggila, lampu pentas yang memukau dan susunan persembahan bertaraf antarabangsa, konsert selama hampir tiga jam ini menyaksikan Stacy dalam elemen terbaiknya – sebagai penghibur penuh semangat, seorang wanita yang menghargai akar budaya, dan seorang bintang pop yang tidak pernah kehilangan sinarnya walaupun sudah 17 tahun dalam industri hiburan.
“Saya rasa puas hati betul malam ini. Penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi kerana ini betul-betul ‘Stacy’ punya konsert,” luah Stacy.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Konsert dibuka penuh bertenaga dengan lagu Pakai Buang, menampilkan Stacy dalam persalinan ranggi hitam, putih dan merah, disambut sorakan gemuruh seluruh dewan.
Malam terus membara dengan lagu-lagu ikoniknya seperti Cakap Ke Tangan, Not For Sale, Gilalah, Bosan dan banyak lagi sehinggalah single terbaharunya, Menyala.
Salah satu babak paling dramatik malam itu ketika Stacy ‘terbang’ di tengah-tengah dewan sewaktu mempersembahkan lagu Khayal, menjadikan seluruh ruang bergema dengan jeritan keterujaan.
Momen emosi hadir apabila lagu-lagu baladanya seperti Kisah Dongeng dan Pelangi Senja dinyanyikan bersama ribuan penonton yang hadir.
Stacy turut menyelitkan persembahan Asmaradana yang pernah dibawakannya dalam The Hardest Singing Show yang diberi sentuhan istimewa dengan paparan busana serta elemen budaya Sabah.
Konsert ditutup dengan lagu ikonik Aku Stacy, lagu yang memperkenalkan Stacy kepada dunia hampir dua dekad lalu, kini menjadi simbol perjalanan seni yang penuh jatuh bangun, dan akhirnya diraikan di pentas mega di kampung halamannya sendiri.
Penonton juga disaji dengan ‘kemesraan’ antara Stacy dan suami tercinta, Akim Ahmad. Segmen ‘Bersemut’ itu dimulakan dengan lagu Inggeris popular Die With A Smile nyanyian asal Lady Gaga & Bruno Mars, disambut dengan sorakan kuat dan tepukan hangat.
Mereka kemudian meneruskan dengan lagu-lagu Aku, Kau & Muzik, Ritma & Rima, sebelum Akim tampil solo dengan Rampas (yang juga ciptaan Stacy sendiri di bawah nama Bunga Cantik) dari Akim & The Majistret, memukau penonton dengan vokal mantap dan karisma tersendiri.
“Ini adalah pelaburan terbesar Rhythm & Rhyme setakat ini dan Alhamdulillah, ianya membuahkan hasil di luar jangkaan. Saya sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” kata Akim.
Konsert turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis jemputan termasuk Amir Masdi, Elica Paujin, Hafiz Zainal dan Dabra Sia, yang masing-masing tampil memberikan persembahan dinamik dan berkarisma, termasuk pelawak Atu Zero yang muncul dengan jenaka spontan yang mencuit hati penonton.
Dalam tempoh tiga bulan persiapan, Stacy bukan sahaja merancang susunan muzik dan konsep pentas, tetapi turut tampil menggayakan 10 adi busana rekaan pereka fesyen tempatan, memecahkan rekod sebagai artis Malaysia pertama melakukan pertukaran kostum sebanyak itu dalam satu malam.
Dalam sidang media, Stacy tidak dapat menahan sebak ketika mengenangkan arwah abangnya, Chaq, kongsinya: “Dialah insan yang membawa saya ke industri ini. Di atas pentas malam ini, saya dapat rasakan kehadirannya. Itu yang membuatkan saya bersemangat sepanjang persembahan.”
Menutup konsert dengan semangat yang membara, Stacy membayangkan masa depan yang lebih besar:
“Kami bercadang untuk bawa konsert ini ke Semenanjung pula. Tapi… nantikan pengumumannya kelak. Kalau Sabah boleh gegarkan SICC, saya yakin Kuala Lumpur pun boleh kita gegarkan sama-sama nanti!”
Konsert ‘Aku Stacy (Menggegar Kota U)’ adalah manifestasi cinta Stacy terhadap Sabah, terhadap muzik dan terhadap semua yang telah menyokongnya sejak 2008.

