Detik Gempa Bumi 6.3 Magnitud Di China, Seorang Terkorban

17 Jun 2026 • 10:18 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Detik Gempa Bumi 6.3 Magnitud Di China, Seorang Terkorban

Detik Gempa Bumi 6.3 Magnitud Di China, Seorang Terkorban

Wilayah Qinghai di barat laut China digegarkan dengan kejadian gempa bumi berukuran 6.3 magnitud pada Selasa.

Menerusi beberapa video yang tular di media sosial, terdapat bangunan dilihat mengalami rekahan akibat kejadian itu.

Selain itu, kejadian turut dirakam di dalam sebuah kedai dan barang-barang penuh berselerak di atas lantai selepas kejadian.

Dalam pada itu, Ibu Pejabat Bantuan Gempa Bumi Majlis Negara dan Kementerian Pengurusan Kecemasan mengaktifkan tindak balas kecemasan Tahap IV susulan gempa itu.

Menurut kementerian itu, satu pasukan kerja telah dihantar ke kawasan terjejas bagi menyelaras tindak balas kecemasan dan usaha bantuan bencana, lapor Xinhua.

Kementerian berkenaan menggesa penyelarasan dipertingkatkan serta pasukan penyelamat digerakkan segera ke kawasan terjejas

Sehingga pukul 6.40 petang Selasa, seorang disahkan maut manakala empat lagi cedera selepas gempa bumi menggegarkan Wilayah Autonomi Mongolia dan Tibet Haixi di Qinghai pada pukul 5.06 petang.

Gempa itu direkodkan berlaku pada kedalaman 10 kilometer.

Usaha menyeluruh dilaksanakan bagi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap, menghantar bekalan bantuan, menempatkan semula penduduk terjejas serta memantau aktiviti seismik dengan teliti.

Baca juga:

Pasukan bomba dan penyelamat pula telah mengerahkan seramai 320 anggota penyelamat, 78 kenderaan dan 10 ekor anjing pengesan ke lokasi kejadian.

Untuk pengetahuan, China menggunakan sistem tindak balas kecemasan empat peringkat, dengan Tahap I merupakan tahap paling serius.