Detik kritikal Misi Global Sumud Flotilla ketika hampiri Zon Kuning: Fahmi

LocalPolitics
28 Sep 2025 • 8:50 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

SEPANG - Misi Global Sumud Flotilla 2025 (GSF) mula memasuki kawasan berisiko tinggi berhampiran Gaza dalam tempoh sehari lagi, dengan kemungkinan untuk dipintas oleh Israel adalah kekal tinggi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia merupakan masa yang kritikal dan dalam tempoh sehari dua ini dan kebanyakan kapal akan memasuki Zon Kuning, yang terletak kira-kira 300 batu nautika dari Gaza.

“Ini adalah saat kritikal kerana kemungkinan dipintas oleh Israel sangat tinggi. Jika tiada gangguan dalam beberapa hari mendatang, kebanyakan daripada 47 kapal itu akan meneruskan perjalanan ke Zon Merah.

“Mengikut sejarah, setiap flotilla yang cuba memasuki zon ini telah dipintas. Namun, memandangkan insiden baru-baru ini di Tunisia dan gangguan lain, kita juga mesti menjangka kemungkinan insiden berlaku di zon kuning,” katanya, lapor NST.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat dari Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim mengenai status 47 buah kapal, termasuk 34 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal berbeza dalam misi berkenaan.

Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini.

Ia disertai sukarelawan negara selain Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Menurut Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, isu mengenai keselamatan rakyat Malaysia di atas kapal akan disalurkan oleh Wisma Putra yang diberi tanggungjawab untuk menyediakan maklumat terkini.

Fahmi memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sedang memantau rapat perkembangan tersebut.

Beliau menambah, Malaysia mengalu-alukan sokongan daripada negara lain dalam melindungi misi kemanusiaan tersebut.

“Kita juga mengambil maklum bahawa Perdana Menteri telah mengucapkan terima kasih kepada Itali dan Sepanyol kerana menghantar kapal bagi membantu melindungi flotila.

“Penyertaan dua negara ini, yang dahulunya sekutu Israel tetapi kini mengiktiraf Palestin, adalah isyarat penting bahawa sentimen dunia telah berubah.

“Kita berada dalam detik bersejarah apabila dunia tidak lagi akan berdiam diri sementara rejim zionis bertindak sesuka hati tanpa sebarang akibat,” katanya. - 28 September, 2025

The post Detik kritikal Misi Global Sumud Flotilla ketika hampiri Zon Kuning: Fahmi appeared first on Scoop.