
SEPANJANG tahun 2025 industri hiburan Sabah menyaksikan pelbagai detik manis dan pahit – daripada kejayaan luar biasa bakat tempatan menembusi pentas antarabangsa, rekod baharu serta pengiktirafan nasional sehinggalah polemik yang mencetus perdebatan dan kehilangan tokoh seni yang amat dirasai.
Tahun ini jelas menjadi saksi kematangan serta cabaran dunia kreatif Negeri Di Bawah Bayu.
Marsha paling menonjolPenyanyi dan pelakon Marsha Milan, 40, muncul sebagai bakat Sabah paling menonjol sepanjang 2025.
Marsha mencuri tumpuan apabila wajahnya terpampang di papan iklan ikonik Times Square, New York, Amerika Syarikat sebagai duta kempen Spotify Equal Asia edisi April 2025, sekali gus menjadikannya artis Borneo pertama dengan pencapaian terbabit.
Penyanyi Sumandak Sabah itu turut dipilih sebagai wajah utama senarai lagu Equal Singapura dan Malaysia yang menampilkan dua lagu popularnya, Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa.
Lebih awal pada Februari 2025, lagu nyanyiannya Hening, ciptaan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39. Kejayaan itu melayakkan Ikhwan, Wan Saleh dan Marsha membawa pulang trofi serta wang tunai RM100,000.
Selain itu, Marsha juga ‘laku’ di pentas antarabangsa apabila menjayakan pelbagai festival dan persembahan berskala besar. Antaranya, beliau membuat persembahan di Festival Round (Asean-Korea Music Festival) di Zepp Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Jun 2025.
Festival berkenaan dibawakan dengan sokongan Asean-Korea Cooperation Fund dan menghimpunkan pemuzik serantau bagi meraikan muzik serta bakat Asean.
Marsha menutup tahun gemilangnya dengan membuat persembahan pada acara penutupan Sukan SEA 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pada 21 Disember 2025.
SOROTAN 2025Tuni Sundatang lakar sejarahJuga melakar sejarah di peringkat antarabangsa adalah kumpulan folk-rock Sabah, Tuni Sundatang yang meraih Anugerah Best in Asia (Asian Folk) pada InterContinental Music Awards 2025 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Kemenangan yang diperoleh menerusi lagu Highlanders itu menampilkan usaha mereka mengangkat serta menghidupkan kembali budaya masyarakat Dusun melalui alunan muzik kontemporari.
Anugerah terbabit menghimpunkan lebih 500 finalis dari lebih 50 negara, dengan pengiktirafan diberikan kepada pelbagai genre muzik di pentas antarabangsa.
Ryenald Guntabid menyerlah di AIM24Walaupun pendatang baharu dalam industri hiburan, Ryenald Guntabid membuktikan kehebatan bakat Sabah di pentas kebangsaan apabila meraih dua trofi utama pada majlis Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung pada September lalu.
Bakat kelahiran Tambunan itu memenangi kategori Vokal Lelaki Terbaik dan Artis Baharu Terbaik menerusi single sulungnya, Lumangad Oku Dika, yang juga ciptaannya sendiri.
Konsert Stacy cipta sejarahRatu Tari atau Dancing Queen Malaysia Stacy Anam mencipta sejarah apabila konsert solo sulungnya, Aku Stacy (Menggegar Kota U), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, berjaya menarik hampir 3,000 penonton, sekali gus mencatat rekod sebagai artis pertama di Sabah meraih pencapaian terbabit.
Menerusi konsert yang menandakan 20 tahun perjalanan kerjaya seninya itu, Stacy turut menjadi artis Malaysia pertama mencatat rekod pertukaran kostum terbanyak dalam satu malam dengan 10 persalinan.
Fenomena Syurga Dalam BotolKejayaan turut dicatat dalam sektor perfileman apabila naskhah sulung Ebi Kornelis, Syurga Dalam Botol mencipta sejarah tersendiri dengan kutipan RM1.7 juta setakat November 2025 sekali gus menjadi filem cereka Sabah dengan kutipan tertinggi.
Kejayaan filem yang menerima dana Dana Pembikin Filem Amatur Kali Pertama (Fame) itu dianggap membanggakan bagi karya sulung seorang pengarah baharu serta produksi tempatan dari Sabah.
Secara keseluruhan, 2025 menyaksikan empat filem Sabah ditayangkan di pawagam iaitu 8 Bucks Tycoon, Mantera, Syurga Dalam Botol dan Ninavau.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pada 2025 sebanyak RM1.55 juta disalurkan kepada penggiat filem Sabah di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK), sekali gus mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan.
Jovenea Jim ‘laris’Kerjaya lakonan Jovenea Jim terbang tinggi pada 2025 apabila tampil dengan dua filem cereka dalam tempoh setahun.
Pengacara dan penyampai berita itu menjadi pilihan pengarah Sabah apabila memegang watak utama dalam filem Mantera yang ditayangkan pada April 2025, sebelum tampil pula menerusi filem Ninavau pada Disember lalu.
Selain itu, dia turut memegang watak pelakon pembantu dalam supertelefilem Aku, Ayah dan Muzik. Supertelefilem arahan anak muda Sabah, Haniff Jeff ini turut disiarkan di RTM.
Kementerian Ekonomi KreatifKomuniti seni kreatif Sabah menerima berita gembira pada penghujung tahun lalu apabila kerajaan negeri mengiktiraf industri ini menerusi pewujudan portfolio Ekonomi Kreatif di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.
Pewujudan portfolio baharu ini sememangnya dinantikan penggiat seni tempatan bagi mengurus pembangunan serta ekosistem sektor kreatif negeri dengan lebih teratur.
Polemik Borneo.TVNamun, arena hiburan negeri tidak terlepas daripada kontroversi apabila isu pewujudan platform penstriman digital negeri, Borneo.TV, mencetuskan perdebatan hangat.
Pelancaran platform itu menerima bantahan keras daripada penggiat seni tempatan yang mendakwa ia dilaksanakan tanpa mengambil kira kepentingan serta pandangan mereka sebagai pemegang taruh.
Ketiadaan proses libat urus bersama komuniti seni tempatan menimbulkan kebimbangan berkaitan struktur operasi, kejelasan peranan penggiat tempatan dan hala tuju platform berkenaan.
BelangsungkawaTahun ini turut menyaksikan dunia hiburan negeri diselubungi duka dengan pemergian beberapa ikon seni Sabah.
Industri muzik Sabah kehilangan penyanyi yang juga naib juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Lotter, yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu selepas bertarung dengan penyakit tiroid.
Pemergian Lotter atau nama sebenarnya Lotter P. Edwin Edin amat mengejutkan rakan artis serta penggiat seni tempatan.
Sektor perfileman negeri turut dikejutkan dengan pemergian pengarah terkenal era 1990-an, Tony Francis Gitom, pada 18 Disember lalu Mendiang, yang dikenali menerusi drama rantaian popular Cinta Antara Benua, meninggal dunia pada usia 58 tahun.
Tony, pengarah kelahiran Penampang, banyak menghasilkan karya popular termasuk Selamat Hari Jadi Su dan Cinta Antara Benua yang disiarkan di TV3 pada 1997.



