
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) masing-masing berdepan dengan 17 kes pokok tumbang di kawasan pentadbiran mereka sepanjang cuti panjang Hari Malaysia.
Kedua-dua agensi berkenaan telah bersiap sedia menangani isu-isu berkaitan pokok dan landskap yang berpunca daripada cuaca buruk yang melanda negeri sejak beberapa hari lalu.
Jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata Unit Pemangkasan Pokok agensi itu bertindak balas terhadap 16 aduan yang direkodkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Kota Kinabalu antara 13 hingga 16 September.
“Kami dimaklumkan mengenai pokok dan dahan yang menghalang laluan trafik di beberapa jalan atau dalam sesetengah kes mengancam keselamatan harta persendirian,” katanya.
Beliau berkata dua pasukan – setiap satunya terdiri daripada 10 anggota landskap – dikerahkan ke lokasi berbeza termasuk Jalan Bukit Padang, Jalan Gaya, Jalan UMS, Jalan Dewan Undangan Negeri, Jalan Bukit Bendera dan Jalan Signal Hill Park.
Mereka juga bergerak ke kawasan pusat komersial Kepayan (Lorong Bunga Tanjung) serta jalan perumahan sekitar Taman Damai di Luyang dan Kingfisher Park di Inanam.
“Sebuah Sky-Master dan dua lori terbuka digunakan untuk membantu operasi ini.
“Kakitangan kami menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok tumbang kepada bahagian lebih kecil sebelum membersihkan sisa-sisa yang ada,” jelasnya.
Jurucakap itu menambah DBKK turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan konsesi Jabatan Kerja Raya bagi menyelesaikan sebahagian halangan berkenaan.
Berikutan kejadian sepanjang minggu lalu katanya kakitangan DBKK diingatkan lebih peka terhadap keadaan pokok dan tumbuhan di sepanjang jalan di bawah seliaan mereka.
“Pokok yang berada di bawah jagaan kami dipangkas mengikut keperluan manakala rumput di bahu jalan dipotong setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata semakan rekod DBKK menunjukkan penurunan ketara dalam jumlah aduan berkaitan pokok tumbang tahun ini berbanding tempoh sama pada 2024.
“Kami berdepan 107 kes pokok tumbang akibat cuaca buruk dalam tempoh tiga hari pada cuti Hari Malaysia tahun lalu.
“Daripada jumlah itu 18 kes pada Hari Malaysia, 40 kes pada keesokan harinya dan 49 kes dua hari selepas itu.”Bagi daerah Penampang MDP menangani satu kes pokok tumbang yang menghalang Jalan Taipakkung di Donggongon pada Isnin.
Jurucakap agensi itu berkata kejadian berpunca daripada tanah runtuh berhampiran rumah kedai Fasa 2, Taman Bandar Baru Donggongon.
“Tujuh kakitangan landskap lengkap dengan gergaji rantai menangani halangan itu.
“Mereka kemudiannya memuatkan sisa pokok dan dahan ke dalam lori terbuka agensi,” katanya.
Menurutnya penyelenggaraan berkala turut dijalankan terhadap pokok di bawah jagaan majlis.
“Pokok yang dikenal pasti berisiko kepada orang awam akan dipangkas atau ditebang oleh kakitangan kami.
“Kami merancang untuk mengurangkan saiz kanopi beberapa pokok sekitar kawasan majlis bagi mengurangkan kemungkinan tumbang sekiranya berlaku hujan lebat dan angin kencang pada masa depan.” katanya.
Jurucakap itu berkata sekitar lapan pokok tumbang akibat ribut pada cuti umum Hari Malaysia tahun lalu di Penampang.



