papar: Dewan bedah di Hospital Papar akhirnya dibuka semula untuk perkhidmatan pada Selasa (20 Sept), kira-kira 14 tahun selepas prosedur terakhirnya dilakukan pada 2008.
Ini disebabkan oleh Inisiatif Pembedahan Global dan Program Kluster Hospital yang menyaksikan dewan bedah itu dinaik taraf.
Berita baik ini dikongsikan melalui laman Facebook Jabatan Kesihatan Sabah pada Selasa.
Menurut jabatan itu dalam laman webnya, pembukaan semula perkhidmatan pembedahan ini dapat membantu meningkatkan kebolehcapaian prosedur pembedahan kepada penduduk di Papar dan kawasan sekitarnya.
Dalam fasa permulaan ini, prosedur Bilateral Tubal Ligation (BTL) telah berjaya dilakukan pada pagi Selasa.
Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) lain seperti LSCS (Lower Segment Caesarean Section), ERPOC (Evacuation of Retained Product of Conception) antara lain kini dapat dilakukan di Hospital Papar.
Terdapat pakar dalam serta pegawai perubatan yang ditugaskan untuk mengendalikan kes dan rawatan ini.
Sistem sokongan teknikal daripada kakitangan yang memiliki Credentialing & Privileging (C&P) juga tersedia mulai sekarang.
Jabatan itu berkata, fasa permulaan ini adalah perintis, dan Hospital Papar serta pengurusan di samping kakitangan operasi komited untuk terus menambah baik dan mengembangkan perkhidmatan pembedahan yang berkualiti kepada rakyat.
“Tahniah kepada pasukan dari Hospital Papar serta pasukan O&G dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas yang terlibat dalam kejayaan pembedahan hari ini,” katanya.
Menurut laman web hospital.com.my, Hospital Papar ialah hospital daerah bukan pakar dengan 77 katil yang menyediakan perkhidmatan pesakit luar dan pesakit dalam.
Perkhidmatan yang terdapat di Hospital Papar termasuk Perkhidmatan Klinikal yang terdiri daripada Unit Kecemasan, Jabatan Farmasi, Unit Kerja Sosial Perubatan, Unit Patologi, Perkhidmatan Hemodialisis, Unit Pemulihan Pekerjaan, Unit Pendidikan Kesihatan, Unit Pengimejan dan Diagnostik serta Unit Fisioterapi.
Perkhidmatan Bukan Klinikal yang disediakan termasuk Unit Rekod Perubatan dan Unit Pentadbiran.

