Dewan Rakyat lulus dua rang undang-undang berkaitan cukai

LocalBusiness & Finance
1 Dec 2025 • 9:35 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Dewan Rakyat lulus RUU Kewangan 2025 dan RUU Langkah-Langkah Cukai 2025, termasuk cukai 2% ke atas agihan keuntungan PLT

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2025 yang meminda lima akta percukaian utama.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying menjelaskan kerajaan akan melaksanakan cukai ke atas pendapatan agihan keuntungan syarikat liabiliti terhad (PLT) yang diterima oleh perkongsi.

Langkah itu berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2026 dengan kadar minimum 2% dan nilai ambang RM100,000.

“Pengenaan cukai ini adalah usaha untuk menambah baik struktur cukai pendapatan individu supaya lebih progresif,” katanya.

Beliau menegaskan kadar 2% bersama ambang RM100,000 dijangka tidak memberi beban tambahan kepada perkongsi.

Kerajaan akan mengambil maklum saranan untuk menyediakan laporan impak menyeluruh dan menilai semula kadar tersebut.

Lim menjelaskan isu “double taxation” tidak berbangkit kerana PLT hanya membayar cukai pendapatan syarikat.

Cukai 2% itu dibayar oleh individu yang merupakan perkongsi, bukan oleh entiti perniagaan.

Mengenai sistem taksiran sendiri duti setem, beliau berkata pendekatan itu selaras dengan amalan antarabangsa.

“Sistem ini memudahkan proses perniagaan dan meningkatkan kedudukan negara dalam penilaian Bank Dunia,” jelasnya.

RUU Kewangan 2025 telah dibahaskan oleh lapan Ahli Parlimen sebelum diluluskan.

Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025.

Lim berkata RUU tersebut merupakan pindaan bersifat pentadbiran untuk kawal selia kutipan dan penguatkuasaan cukai yang lebih berkesan.

Pindaan itu menyasar penggunaan meluas platform digital dalam pemfailan dan pemprosesan cukai.

“Ini sejajar dengan dasar pendigitalan negara,” katanya.

RUU Langkah-Langkah Cukai 2025 telah dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen sebelum diluluskan. – Bernama