Dewan terbuka bagi permudah aktiviti agama dan komuniti

LocalPolitics
23 Feb 2026 • 4:20 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

BEAUFORT: Bagi memudahkan pelaksanaan sebarang aktiviti sosial, keagamaan dan komuniti, sebuah dewan terbuka telah siap dibina di Masjid Ukhuwah, Mukim Gadong, di sini.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, pembinaan dewan berkenaan adalah hasil peruntukan diluluskan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini.

Menurutnya, pembinaan dewan terbuka seluas kira-kira 3,500 persegi dengan  kos sebanyak RM250,000 itu telah siap sepenuhnya pada Oktober tahun lalu.

“Reka bentuk dewan terbuka ini sedikit berbeza memandangkan keluasan tapaknya di perkarangan masjid ini agak terhad namun mampu menampung sebarang aktiviti sosial.

“Pada masa sama, kemudahan ini boleh digunakan untuk menampung lebih ramai jemaah khususnya semasa solat Jumaat, terawih sempena Ramadan atau solat sunat Aidilfitiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Buka Puasa dan Perasmian Dewan Terbuka Ukhuwah Mukin Gadong yang turut dihadiri wakil rakyat Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, di sini pada Sabtu.

Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (Sabah) berkata, terdapat tiga lagi dewan terbuka turut dibina di bawah peruntukan sama di Sekolah Agama Negeri (SAN) Lingkungan dan SAN Weston.

Menurutnya, pembinaan insfrastruktur itu bertujuan mengimarahkan institusi masjid dan surau, di samping menunjukkan sokongan berterusan kepada umat Islam di kawasan Parlimen Sipitang.

“Selain Masjid Ukhuwah ini, dua lagi dewan di kawasan Dun Sindumin juga telah diluluskan dan telah siap dibina. Perasmiannya akan kita laksanakan dalam masa terdekat.

“Justeru, kemudahan ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan, keagamaan serta majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi,” katanya.

 Terdahulu, Matbali dan Ruslan turut menyalurkan sumbangan kewangan dan kurma sempena Ramadan kepada 34 buah masjid dan 41 buah surau untuk kawasan Lumadan dan Parlimen Sipitang.