amree10/11/2026 - 11:30 PENGARAH Kanan Pembangunan Perniagaan DHL Supply Chain Malaysia, Debarshi Mazumder (kiri), bersama-sama Ketua Pegawai Risiko dan Tadbir Urus Kumpulan Siti Khadijah Apparels Sdn Bhd, Mohammad Muzammil Aminuddin (kanan), pada majlis pemeteraian kerjasama. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov — DHL Supply Chain Malaysia menjalin kerjasama dengan jenama fesyen Muslimah tempatan, Siti Khadijah Apparels Sdn Bhd bagi memperkukuh operasi e-dagang dan memenuhi keperluan perniagaan berbilang saluran menerusi perkhidmatan DHL Fulfillment Network (DFN).
Katanya, dengan pasaran e-dagang Malaysia dijangka berkembang 9.4% kepada RM162 bilion, jenama tempatan semakin memerlukan sistem logistik yang cekap bagi memenuhi peningkatan tempahan dalam talian, mempercepat penghantaran serta memudahkan urusan pemulangan barangan.
Justeru ujar kumpulan tersebut, ia mengambil peluang daripada perkembangan itu menerusi kerjasama yang membolehkan DHL menguruskan penyimpanan barangan, pengurusan inventori, pemprosesan pesanan, penyelarasan penghantaran peringkat akhir serta pengurusan pengembalian produk.
"Operasi berkenaan merangkumi tempahan daripada pelbagai platform jualan dan penghantaran kepada pelanggan di Malaysia, Singapura serta Brunei, sekali gus menyokong usaha jenama tersebut untuk terus memperluas capaian pasaran serantau," jelasnya menerusi kenyataan.
Siti Khadijah yang ditubuhkan pada 2009, merupakan antara jenama fesyen Muslimah terkenal di Malaysia dengan memiliki rangkaian 65 butik di Malaysia, Singapura dan Indonesia, selain terus mengembangkan lagi kehadirannya dalam saluran jualan menerusi e-dagang.
DFN kata DHL, menyediakan platform bersepadu yang menggabungkan penyimpanan stok, pengurusan pesanan, penghantaran dan pemulangan barangan, membolehkan syarikat mengembangkan perniagaan tanpa perlu membina sendiri infrastruktur pemenuhan tempahan sendiri.

Melalui rangkaian itu, stok boleh ditempatkan secara lebih dekat dengan pelanggan bagi memendekkan tempoh penghantaran, manakala setiap pesanan mudah dipadankan dengan penyedia perkhidmatan penghantaran berdasarkan tahap perkhidmatan yang dipilih.
"Semua tempahan boleh dijejaki menerusi satu sistem tanpa mengira negara atau syarikat penghantaran yang digunakan, sementara jenama turut mendapat akses kepada paparan maklumat masa nyata mengenai paras inventori dan jumlah pesanan melalui portal MySupplyChain DHL," katanya.
Ketua Pegawai Risiko dan Tadbir Urus Kumpulan Siti Khadijah Apparels, Mohammad Muzammil Aminuddin berkata, kerjasama itu membolehkannya memenuhi jangkaan pelanggan yang mahu produk diterima pantas, selain tidak perlu membangunkan seluruh kemudahan logistik sendiri.
Sementara itu, Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz berkata, DFN menyediakan keupayaan pemenuhan tempahan seperti yang digunakan jenama global kepada syarikat tempatan, tanpa memerlukan pelaburan awal yang besar untuk membangunkan infrastruktur sendiri.
Beliau berkata, kerjasama dengan Siti Khadijah mencerminkan komitmen DHL membantu jenama tempatan mengembangkan perniagaan melalui rumusan logistik yang lebih fleksibel, meningkatkan kepuasan pelanggan serta membuka peluang pertumbuhan di Malaysia dan pasaran global. - DagangNews.com
