
DI banyak negara, karya sastera bukan sekadar dibaca, malah diangkat sebagai produk pelancongan yang menghidupkan sejarah dan budaya. Di England, misalnya, pelancong terutamanya pencinta buku dan teater menelusuri Shakespeare Heritage Trail, sebuah laluan warisan berpandu kendiri di sekitar bandar Stratford-upon-Avon yang menjejaki kehidupan dan legasi William Shakespeare.
Laluan ini menghubungkan pelbagai lokasi penting yang berkait rapat dengan kehidupan Shakespeare, termasuk rumah kelahirannya; kediaman isterinya Anne Hathaway; rumah anak perempuannya serta beberapa lokasi bersejarah yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan karya agung beliau. Pengunjung boleh meneroka setiap destinasi mengikut rentak sendiri sambil mendapatkan maklumat melalui papan interpretasi, peta atau aplikasi mudah alih.
Konsep seperti ini bukan sahaja memelihara warisan sastera, malah berjaya menarik ribuan pelawat setiap tahun, sekali gus menyumbang kepada ekonomi tempatan. Malaysia juga mempunyai ramai sasterawan yang membentuk pemikiran, bahasa dan jati diri bangsa. Namun, sejauh manakah kita meraikan legasi mereka melalui destinasi yang boleh dikunjungi oleh masyarakat dan pelancong?
Bayangkan sekiranya diwujudkan Jejak Sasterawan Malaysia. Pengunjung boleh menelusuri kampung halaman Usman Awang di Kuala Sedili, Johor; bergambar dengan muralnya di Kota Tinggi, galeri atau perpustakaan yang menyimpan koleksi karyanya serta lokasi yang menjadi ilham kepada puisi dan penulisannya. Begitu juga dengan Jejak A. Samad Said yang menghubungkan tempat-tempat penting dalam perjalanan hidup beliau di Melaka dan Kuala Lumpur, sekali gus memperkenalkan kisah di sebalik karya-karya yang telah menjadi khazanah negara.
Setiap negeri mempunyai tokoh sasteranya. Dengan menghimpunkan lokasi-lokasi bersejarah, muzium, perpustakaan, mural, rumah warisan dan ruang seni dalam satu laluan yang tersusun, kita bukan sahaja memperkenalkan sasterawan kepada generasi baharu, malah menghidupkan semula sejarah tempatan serta merancakkan ekonomi komuniti melalui pelancongan budaya. Jejak sasterawan bukan sekadar produk pelancongan. Ia ialah satu bentuk penghargaan terhadap warisan intelektual negara, medium untuk memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda dan bukti sastera tidak hanya hidup di dalam buku tetapi juga di tempat-tempat yang pernah melahirkan idea, inspirasi serta karya agung.
Ketika Malaysia giat memperkasa pelancongan budaya dan warisan, mungkin sudah tiba masanya kita bertanya, di manakah jejak Sasterawan Malaysia? –UTUSAN
RUZAIMI SANY ZAINUDDIN
Kuala Lumpur
The post Di mana jejak Sasterawan Malaysia? appeared first on Utusan Malaysia.
